Isnin, 2 Julai 2012

20 Ribu Di Himpunan Hijau Sambut Kepulangan Salahuddin

MSO


Kunjungan Mursyidul Am Nik Abdul Aziz Nik Mat ke Johor Jumaat lalu penuh bermakna dan membawa pengertian tersendiri. Kunjungan itu ada dua misi untuk menghadiri himpunan hijau ke 2 peringkat negeri Johor dan menghantar secara rasmi Naib Presiden Pas Salahuddin Ayub pulang ke Johor. Kehadiran Nik Aziz itu memberi makna tersendiri kepada rakyat Johor teristimewanya rakyat Kelantan yang berada di Johor.

Walaupun sudah lama diketahui Salahuddin akan meninggalkan Kelantan dan rakyatnya di Kubang Kerian untuk berkhidmat di negeri sendiri tetapi tidak ada acara rasmi sebagai simbolik menghantar Salahuddin pulang. Jadi kunjungan Tokguru di Johor itu adalah sebagai simbolik penghantaran Salahuddin pulang ke tanah tumpah darahnya.

Salahuddin ucap terima kasih kepada rakyat Johor.

Walaupun Nik Aziz tidak berapa sihat (sehingga terpaksa membatalkan niat untuk ke Kempas bagi berjumpa rakyat Kelantan di situ), tetapi beliau mengagahkan juga diri untuk ke Johor. Itulah Nik Aziz komited dengan tugas dan tanggungjawabnya. Beliau merasa bersalah kalau tidak mengiringi Salahuddin pulang kerana Salahuddin hampir 10 tahun berkhidmat untuk Kelantan sebagai ahli Parlimen Kubang Kerian.

Bagi Nik Aziz selaku pesuruhjaya Pas Kelantan Salahuddin dianggap sebagai anaknya sendiri pastilah untuk melepaskan Salahuddin tentu ada rasa sedih di dada.

Sebenarnya kepulangan Salahuddin bukan kerana beliau sudah tidak diperlukan di Kelantan lagi seperti mana rakyat Kelantan 'benci' kepada bekas timbalan presiden Pas Nasharudin Mat Isa, tetapi ia atas kehendak dan permintaan Pas Johor sendiri. Seperti mana jelas Tokguru, Pesuruhjaya Pas Johor Dr Mahfodz Mohamed sendiri yang datang menemuinya meminta agar Salahuddin dipulangkan ke Johor. Pas Johor sangat-sangat memerlukan tenaga dan idea Salahuddin untuk menghadapi UBN bagi menawan Johor.

Permintaan Mahfodz itu memang tepat pada masanya. Dalam keadaan gelombang politik nasional kini dan politik Johor (Umno) bergolak, negeri itu memerlukan tokoh-tokoh beribawa dan berpengalaman persis Salahuddin. Dengan kepulangan itu sudah pasti Salahuddin akan dapat memberi tumpuan untuk membangun Johor dengan Pas dan Islam bersama rakan-rakan pemimpin yang lain.

Bagi Tokguru Nik Aziz pula beliau merasa bangga dengan Salahuddin yang kini sudah mengapai tempat paling tinggi dalam Pas, selaku Naib Presiden Pas. Sudah dua penggal Salahuddin menjadi naib presiden. Selama Salahuddin berada di Kelantan dengan menjadi wakil rakyat Kubang Kerian sudah penuh ilmu di dada untuk Salahuddin praktikan dalam hidupnya terutamanya membantu Johor.

Tentulah bagi Nik Aziz amat berat untuk beliau melepaskan Salahuddin pulang maklumlah ahli parlimen Kubang Kerian itu dianggap sebagai anda sendiri, namun beliau kena akur juga kepada permohonan Pas Johor yang memerlukan Salahuddin. Rasa berat Tok Guru ini dijelaskan dalam ucapan ringkas di majlis makan malam dan penyerahan dana pilihan raya Pas di hotel penginapannya di Johor Bharu.

"Saya datang sini menyerah YB Salahuddin kepada rakyat Johor... ia boleh dianggapkan penghantaran menantu ke tok besannya di sini (Johor...) jadi selepas ini saya akan balik dan meninggalkan menantu (anak) disini. Jadi saya harap orang Johor akan bergembira dan kepulangan YB Salahuddin ini akan disokong sepenuhnya," begitulah ujar Tok Guru.

"Saya tidak sedia melepas YB Salahuddin kalau bukan atas permohonan dan permintaan Datuk Dr Mahfodz Mohamed," tegas Tok Guru Nik Aziz membuka rasa hatinya.

Semasa beliau membuat penyerahan itu dapat dirasakan nadanya agak bergetar menjelaskan perasaannya untuk melepaskan Salahuddin. Ertinya Salahuddin adalah salah seorang kesayangan Tokguru Nik Aziz di Kelantan. Seharusnya orang Johor khasnya orang Pas menerima baik dan kesedihan Nik Aziz itu perlu dibalas dengan kejayaan besar dalam pilihan raya nanti.

Sementara itu kepulangan Salahuddin ternyata disambut baik oleh rakyat Johor. Pas Johor sendiri seperti mendapat semangat tambahan dengan kepulangan Salahuddin itu. Semasa menghadiri majlis "Bertemu Mata" dengan anak-anak Kelantan di Kempas, Salahuddin pula berjanji akan membawa sesuatu perubahan ke atas Johor dalam pilihan raya nanti. "InsyaAllah harapan saudara semua akan saya laksanakan dan menghargai," kata Salahuddin.

Kegembiraan rakyat Johor dengan kepulangan naib presiden Pas itu jelas terbukti dengan jumlah kehadiran orang ramai di Himpunan Hijau 2 yang diadakan di Taman Dahlia. Menurut maklumat setempat itulah himpunan paling ramai. Dalam hitungan saya dianggarkan kehadirannya tidak kurang 20,000 di mana angka itu berkali ganda dengan himpunan pertama yang dihadiri presiden parti Abdul Hadi Awang beberapa minggu lalu.

Menurut mereka, jarang sekali malahan boleh dikatakan tidak pernah berlaku jumlah orang ramai yang hadir pada majlis Pas. Malam itu saya lihat yang datang sanggup mengalahkan kepada keadaan dan rela duduk di atas rumput. Keadaan atau lokasi himpunan itu tidak begitu kondusif bukan menjadi masalah. Walaupun tidak selesa tetapi tidak menjadi masalah, ada yang meriba anak kecil mendengar pidato para pemimpin Pas.

Selain yang menjadi host pada malam itu dan menyampaikan ceramah ialah Salahuddin Ayub sendiri, Mahfodz, Husam Musa, Ketua Pemuda Pas Nasruddin Hasan dan penceramah jemputan Tamrin Ghafar. Turut berucap pada malam itu ialah pelakon Hairie Othman yang baru menyertai Pas.

Melihat kepada sambutan dan kesediaan rakyat Johor berhimpun malam itu menunjukkan mereka teransang dengan kepulangan Salahuddin untuk bersama mereka. Bagi Salahuddin pula apa yang berlaku itu adalah cabaran besar untuknya. Mungkin dalam masa terdekat Salahuddin yang sudah menimba ilmu politik di Kelantan dapat dipraktikkan pula di Johor demi mengapai perubahan. Semoga. [wm.kl.02/07/12]
Pesuruhjaya Pas Johor Mahfodz sedang memperkatakan sesuatu kepada Nik Aziz.
Mahfodz, Nik Aziz dan Salahuddin bergambar kenangan dengan pimpinan muslimat.
Pendermah mengambil kesempatan bergambar dengan Nik Aziz.
Sebahagian 20 ribu yang hadir di himpunan hijau di Taman Dahlia.
Lagi pemandangan orang ramai di himpunan hijau.
Pentas di himpunan hijau Khaie sedang berucap.

Tiada ulasan: