Rabu, 18 April 2012

Ladang Sungai Terah bagi bonus 11 bulan

Azman Mustafa,

 
GUA MUSANG: Kejayaan ulama mentadbir Kelantan terbukti lagi apabila sebuah anak syarikat milik kerajaan negeri mengumumkan pemberian bonus 11 bulan gaji kepada kakitangannya.

(Omar menyampaikan geran tanah kepada kakitangannya)

Selain itu seramai 83 kakitangan Syarikat Ladang Sungai Terah Sdn Bhd yang berkhidmat lebih 10 tahun diberi geran hak milik tanah.

Pengumuman bonus dan penyerahan geran tersebut disempurnakan Pengerusi Lembaga Pengarah Syarikat Ladang Sungai Terah Sdn Bhd, Datuk Omar Mohamad baru-baru ini.

Omar berkata, tanpa sokongan dan kerjasama semua kakitangan kejayaan yang dinikmati sekarang tidak mungkin akan dapat dirasai.

“Menyedari hakikat inilah pihak pengurusan bersetuju memberi ganjaran kepada kakitangan sebagai menghargai sumbangan serta kegigihan mereka dalam usaha membangunkan syarikat,” katanya di majlis berkenaan.

Menurutnya melahirkan sebuah syarikat yang teguh dengan menjana keuntungan  besar bukanlah suatu kerja yang mudah.

Oleh itu beliau berharap pegawai dan kakitangan syarikat berkenaan mempertahankan prestasi syarikat pada masa akan datang.

Beliau yang juga Adun Perupok turut mengingatkan semua kakitangan supaya sentiasa bersyukur dengan nikmat yang Allah SWT berikan dan tidak mengabaikan tanggungjawab masing-masing.

Tahun lepas syarikat terbabit memperolehi keuntungan sebanyak RM28 juta.

Hadir sama di majlis berkenaan, anggota Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perladangan PKINK Berhad, Zazali Japar.

Pada majlis itu juga seramai 23 anak kakitangan syarikat Ladang Sungai Terah yang cemerlang dalam peperiksaan menerima sumbangan disampaikan Siti Zailah.

Tiada ulasan: