Selasa, 3 April 2012

Jasad Keluar Negara, Nama Didaftarkan Sebagai Pengundi



SHAH ALAM : Kepincangan sistem pilihanraya Malaysia terbukti sekali lagi apabila seorang pembantu akauntan mendakwa beliau didaftar sebagai pengundi tanpa pengetahuannya.

Lebih memeranjatkan lagi, Jeisha Nukasy, 36, didaftar sebagai pengundi pada Feb 17 semasa beliau berada di luar negara atas urusan kerja.

Menurut ADUN Seri Muda Shuhaimi Shafiei, Jeisha bukan kes pertama yang beliau pernah temui.

Jeisha mendakwa beliau didaftarkan sebagai pengundi oleh pihak tidak bertanggungjawab semasa beliau berada di Thailand.

Jeisha menyedari perkara tersebut semasa beliau pergi ke pejabat Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) di Kompleks PKNS Shah Alam untuk mendaftar sebagai pengundi pada 31 Mac.

“Saya terkejut apabila dimaklumkan bahawa nama saya telah didaftarkan pada 17 Februari lalu sedangkan 16 Feb hingga 19 Feb saya berada di Thailand,” Jeisha berkata apabila ditemui di Ibupejabat Polis Daerah Shah Alam di sini.

Jeisha tampil membuat laporan polis bagi mendesak pihak berkuasa menyiasat bagaimana beliau boleh didaftarkan tanpa kehadiran dan kad pengenalan.

Hadir bersama Jeisha adalah suaminya Steven Sivatian dan ADUN Seri Muda Shuhaimi Shafiei.

Jeisha berkata mengikut rekod SPR, beliau didaftarkan sebagai pengundi di Jalan Kebun yang berada di dalam kawasan DUN Seri Muda.

Sementara itu Shuhaimi berkata beliau dalam proses menghubungi seorang lagi pengundi yang mengalami perkara yang sama.

Sebelum ini, media melaporkan yang kawasan mengundi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim diubah tanpa pengetahuannya daripada Petaling Jaya Selatan ke Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

“SPR diminta untuk membersihkan senarai nama pengundi sebelum pilihanraya dan bertindak secara adil dan tidak menyebelahi mana-mana parti politik seperti UMNO-BN untuk memenangi pilihanraya akan datang,” jelas Shuhaimi.

Tiada ulasan: