Selasa, 14 Jun 2011

Video Seks: Umno jadikan rakyat bahan eksperimen

KEADILAN DAILY

Video seks kini menjadi bahan politik Umno BN


AMPANG: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) menyifatkan kerajaan menjadikan rakyat sebagai bahan eksperimen politik lucah oleh Umno Barisan Nasional (BN) ekoran terbaru fitnah skandal seks Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu pula diedar.

Walaupun dua laporan sudah dibuat, Ketua AMK Ampang, Hamsah Djabir berkata, polis masih berdiam diri berhubung pengedaran video lucah bagi memenuhi kepuasan pemerintah.

“Sampai bila polis mesti berdiam diri? Kini bukan sahaja Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadikan mangsa tetapi juga pimpinan PAS (Mat Sabu). Tidak mustahil selepas ini, pimpinan DAP pula.

“Adakah polis hendak menunggu sehingga pilihan raya, baru umum hasil siasatan?,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ekoran pengedaran video seks yang berleluasa sejak dua hari lalu, Hamsah menyifatkan perkara itu sebagai penghinaan kepada kuasa rakyat yang sebenarnya ‘majikan’ di negara ini.

“Respon kepada laporan polis Zuraida Kamaruddin, Ketua Cabang Ampang dan respon pimpinan PAS berkenaan penyebaran VCD Fitnah Anwar dan fitnah skandal seks Mat Sabu selama dua hari ini, adalah penghinaan kepada kuasa rakyat.

“Minggu lepas sahaja salah seorang ahli AMK Ampang terima VCD sama di pusat beli belah, dan kini ia dipos terus ke rumah Yang Berhormat pula. Penyebaran ini sudah melampau,” ujarnya.

Beliau mewakili AMK Ampang memberi amaran keras dan tidak gentar dengan penyebaran video lucah, malah sudah bersiap sedia menghalang politik lucah yang mencemarkan pengundi Ampang.

“Amaran kepada dalang penyebaran: Kami (AMK Ampang) sudah bersedia dengan permainan perang saraf kotor begini. Barisan pertahanan akan kami ampuhkan. Barisan serangan akan kami perkuatkan.

“Kami tidak gentar dan sentiasa bersedia menghalang politik lucah secara habis-habisan dari terus mencemarkan pengundi di Ampang,” kata beliau.

Tiada ulasan: