Rabu, 15 Jun 2011

Umno jangan berlagak menyalak di luar rumah

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) merakamkan ucapan tahniah kepada Adun Meru merangkap Yang Dipertua Kawasan Kapar Dr Abdul Rani Osman atas perlantikan beliau sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor yang baru.

Ketuanya, Hasbullah Mohd Ridzwan (gambar) berkata, DPPNS selaku sayap kanan parti akan sentiasa komited dalam usaha membantu pesuruhjaya dalam menggerakkan jentera parti di semua peringkat bagi menghadapi segala cabaran dan rintangan politik negeri Selangor khususnya dalam persiapan untuk menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 nanti.

“Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor amat bersetuju dengan kenyataan Ketua Penerangan PKR Selangor yang mengatakan perlantikan Abdul Rani sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor yang baru akan menjadi 'mimpi ngeri yang berpanjangan' kepada Umno BN Selangor,” katanya kepada Harakahdaily.

DPPNS turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor merangkap Adun Gombak Setia, Datuk Dr. Hasan Ali atas segala khidmat dan usaha keras beliau dalam memartabatkan perjuangan PAS dan memantapkan Pakatan Rakyat Negeri Selangor sehingga mencapai kemenangan bersejarah memerintah Negeri Selangor di dalam PRU ke 12 yang lalu.

“Khidmat beliau sangatlah dihargai oleh seluruh saf pimpinan Pemuda Negeri dan Kawasan-kawasan,” katanya.

DPPNS turut menasihatkan Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor, Datuk Satim Deman supaya menjaga urusan partinya sendiri daripada meminta Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim menggugurkan Hasan daripada Kabinet Exco Negeri Selangor selaras keputusan PAS tidak melantik beliau sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor.

“Ingin Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor mempertegaskan bahawa jawatan Dr Hasan sebagai Exco Negeri Selangor adalah hasil daripada persetujuan bersama kepimpinan Pakatan Rakyat Negeri Selangor dan tidak membabitkan perubahan kepimpinan di peringkat sesebuah parti.

“Janganlah Umno berlagak seperti anjing yang menyalak di luar rumah cuba mengambil kesempatan mencari publisiti politik murahan dengan mencampuri urusan parti orang lain sedangkan partinya sendiri penuh dengan masalah,” tegasnya.

DPPNS yakin PAS dan Pakatan Rakyat Negeri Selangor cukup arif dan berpengalaman dalam mentadbir urus Negeri Selangor dan parti masing-masing tanpa campur tangan daripada pihak luar.

Satim katanya, sepatutnya menasihatkan Ketua Pemuda Umno Selangor, Ungku Salleh Ungku Jamal dan Ketua Pemuda Umno Selayang, Datuk Sohaimi Shahadan supaya tidak gopoh dalam mempertikaikan khutbah Jumaat baru-baru ini yang bertajuk “Jenayah Qazaf adalah berdosa besar.

“Ini adalah kerana Qazaf dan Hudud sama seperti smbahyang, puasa dan perintah-perintah lain yang terdapat di dalam Al-Quran adalah perintah Allah dan wajib dilaksanakan. Janganlah menjadi seperti pepatah Melayu seperti ayam berkokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi,” katanya.

Tiada ulasan: