TEMERLOH: Langkah Umno menentang pemilihan jawatankuasa masjid di Pulau Pinang oleh anak kariah membayangkan ketakutan Umno kalau-kalau cengkaman mereka ke atas masjid di negeri itu hilang.
Ini kerana, sistem melantik pengerusi dan jawatankuasa masjid yang dibuat Umno sebelum ini memastikan Umno mengawal masjid bukannya anak kariah masjid berkenaan.
Sehubungan itu, Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man meminta rakyat negara ini tidak risau tentang isu pemilihan jawatankuasa masjid yang dicadangkan oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) kerana ia bukanlah perkara baru.
Bahkan ia hanya menjadi perubahan mekanisme dengan penggunaan kaedah yang lebih tersusun dan akan terlebih baik, kata Tuan Ibrahim, bekas pensyarah Pendidikan Islam UiTM itu.
“Isu ini tidak sepatutnya menjadi polimik kepartian, kerana ia bukanlah pilihan berdasarkan parti politik. Pemilihan adalah berdasarkan merit seseorang calon pda pandangan ahli kariah.
"Ia sebenarnya jauh lebih baik dari kaedah yang digunakan sekarang apabila kerajaan yang memerintah boleh melantik jawatankuasa tanpa mendapat persetujuan ahli kariah,” kata Tuan Ibrahim (gambar kanan) dalam satu kenyataannya hari ini kepada Harakahdaily.
Beliau meminta semua pihak melihat apa yang berlaku di Selangor sekarang apabila kariah memilih nazir hingga ke jawatankuasa masjid melalui pemilihan anak kariah dan disahkan sahaja oleh Majlis Agama Islam negeri.
Ia telah menyebabkan semua masjid dan surau di Selangor begitu makmur dengan pelbagai program khasnya program ilmu.
"Adakah ini yang ditakuti oleh Umno," soal beliau ketika mengulas bantahan Umno terhadap cadangan Pulau Pinang yang mahu melaksanakan sistem pemilihan untuk jawatankuasa masjid di negeri itu.
Bagi memburukkan keadaan, Umno menuduh DAP mahu menguasai masjid di negeri itu melalui cara ini.
Menjawab balas tuduhan Utusan, setiausaha politik kepada Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari (gambar bawah) berkata DAP tidak terlibat sama sekali dengan soal pengurusan masjid di Pulau Pinang yang berada di bawah pentadbiran Majlis Agama Islam Pulau Pinang.
“DAP tidak ada wakil yang menduduki MAIPP. Jika MAIPP sendiri yang berpendapat langkah itu sesuai, ia terpulang kepada MAIPP dan umat Islam di Pulau Pinang. DAP tidak ada sebarang penglibatan dalam usaha itu,” katanya yang dipetik Roketkini.
Bagi Tuan Ibrahim, hakikat pahit sistem yang ada kini di kebanyakan negeri telah dimonopoli oleh parti yg memerintah bilamana mereka melantik ketua Umno sebagai pengerusi masjid, walaupun ianya berada di kariah lain, bahkan ada juga waktunya mereka yangg dilantik bukan dari kalangan ahli masjid.
“Perlantikan begini menimbulkan rasa tidak puas hati ahli kariah dan pegawai masjid menyebabkan banyaknya masjid mati, tidak berfungsi dan tidak terurus dengan baik.
"Sepatutnya usaha ke arah memperbaiki sistem yang lemah ini mendapat sokongan semua pihak,” terang beliau.
Maka katanya, isu pemilihan masjid ini tidak akan menimbulkan persoalan ia dikuasai parti tertentu, kerana pemilihan berdasarkan individu dan bukan parti politik.
“Kebimbangan Umno sekarang disebabkan kebimbangan jawatankuasa yang dilantik terus di kalangan pimpinan Umno tidak lagi terpilih, kerana mereka yang dilantik sebahagiannya bukanlah ahli kariah dan bukan pula kaki masjid,” tambah Tuan Ibrahim.
Untuk mengatasi masalah pemilihan ini diragui, Tuan Ibrahim berkata soal mekanisme pendaftaran ahli kariah mampu dilakukan tanpa sebarang persoalan yang besar.
Bahkan, kata beliau, dengan data ahli kariah yang lebih lengkap dapat diperolehi, ia sudah tentu dapat mendatangkan kebaikan kepada urusan pentadbiran.
“Sayangnya sikap buruk sangka yang menebal di kalangan pemimpin Umno terhadap kerajaan Pakatan Rakyat menyebabkan mereka tidak lagi rasional dalam membuat penilaian terhadap sesuatu kebaikan,” kata beliau dengan kesal.
Tuan Ibrahim juga menasihatkan Umno untuk melihat kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor, Kedah dan Kelantan yang berjaya menjadikan masjid sebagai pusat tarbiyah dan pembangunan komuniti yang hebat.
Kerana keghairahan mereka untuk membina masjid yang indah dengan peruntukan jutaan ringgit tidak bermakna seandainya masjid itu kosong, sunyi sepi dari sebarang aktiviti selain sembahyang fardu.
Barangkali, kata Tuan Ibrahim, Umno membantah dalam isu ini kerana mereka resah terhadap kehadiran ratusan umat Islam mengikuti kuliah kerana beranggapan fenomena ini sebagai satu kebangkitan pembangkang khususnya PAS.
“Lantaran itu, sistem pemilihan jawatankuasa masjid yang satu masa dahulu dibuat oleh ahli kariah melalui undian (angkat tangan) telah ditukar dengan mengambilalih melalui perlantikan secara terus.
"Akibatnya, pelbagai kepincangan penyelewengan telah berlaku seperti kegagalan mengadakan mesyuarat agong dan sebagainya,” ulas beliau.
Disebabkan kelemahan inilah, kata Tuan Ibrahim kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat cuba memperbaiki sistem dengan mengembalikan hak kepada ahli kariah melalui kaedah pengundian.
“Disebabkan kebimbangan teruk bahawa 'kuncu-kuncu' Umno akan tewas, maka mereka terus menentang tanpa berfikir panjang. Sedangkan ia adalah satu sistem terbuka bagi ahli kariah memilih siapa yang paling wibawa bagi menguruskan masjid,” terang Tuan Ibrahim.
Umno dan lidah rasmi Perkasa, Utusan Malaysia muktahir ini mempersoalkan munasabah untuk mengadakan 'pilihan raya masjid' di Pulau Pinang kerana bimbang ada pihak mempunyai agenda tersembunyi untuk menjerumuskan institusi masjid ke kancah politik kepartian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyuruh MAIPP untuk memikirkan perkara itu semula kerana pemilihan itu dilihat boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan kariah masjid kerana unsur politik mungkin lebih mendominasi pemilihan tersebut.
Selepas diberi amaran oleh Kementerian Dalam Negeri kerana memainkan isu negara Kristian bulan lepas, Utusan sekali lagi cuba memanaskan suasana politik negara dengan isu agama terhadap DAP. |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan