BERNAMA
KOTA BHARU: Layanan isteri yang baik terhadap suami tidak wajar disamakan sebagai layanan pelacur kelas pertama, kata Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.
Beliau berkata, perbuatan menyamakan tugas seorang isteri melayani suaminya sebagai pelacur juga tidak berpandukan kepada peranan dan tanggungjawab sebenar isteri terhadap suami di sisi Islam.
"Jadi, sesiapa yang menyamakan tugas isteri melayan suami sebagai pelacur kelas pertama tidak wajar dan berilmu," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Mohamad Shukri mengulas kenyataan Naib Presiden Kelab Isteri Taat, Dr Rohaya Mohamed, baru-baru ini, yang menyarankan golongan isteri patuh dan melayan suami seperti "pelacur kelas pertama".
Kenyataan itu dikecam banyak pihak termasuk Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang yang menyifatkannya sebagai kenyataan "biadap dan celupar".
Mengulas lanjut, Mohamad Shukri berkata, layanan pelacur terhadap pelanggan adalah berdasarkan wang semata-mata, sedangkan tangungjawab isteri dari kaca mata Islam amat luas.
"Perkahwinan suami isteri memenuhi kehendak biologi dan yang paling besar bersandarkan rohani dan psikologi. Jadi, adalah tidak kena menyamakan seorang isteri sebagai pelacur kelas pertama.
"Ini juga boleh menghina golongan wanita dan lelaki yang menjadi pasangan suami isteri yang sah di sisi agama Islam dan ia dilihat tidak berakhlak," katanya.
Sebaiknya, kalau beliau, suami yang gagal mendapat kepuasan daripada layanan isterinya harus mendidik isteri mereka dengan cara baik mengikut Islam.
Ia kerana, kata beliau, pemimpin keluarga yang baik akan berupaya membentuk isteri yang taat kepadanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan