Harakahdaily |
SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor telah mengadakan Majlis Penyampaian Cek Bantuan Pembangunan Pendidikan Fasa Pertama 2011 sebanyak lebih RM6 juta untuk tiga kategori sekolah iaitu Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di seluruh Selangor. Majlis penyampaian itu melalui Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan diserahkan melalui Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri dan penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat di kesemua 56 Dun Selangor untuk diserahkan kepada sekolah-sekolah yang terlibat di Dun masing-masing. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr Halimah Ali (gambar) menyarankan supaya Adun-Adun dan Pusat Khidmat Masyarakat dapat menyampaikan maklumat berkenaan peruntukan itu kepada sekolah-sekolah dalam Dun masing-masing dan membantu urusan permohonan itu. “Pihak Adun dan Pusat Khidmat juga diminta untuk memantau sekolah-sekolah yang menerima bantuan pembangunan pendidikan daripada kerajaan negeri,” ujarnya dalam satu kenyataan. Bagi tahun 2011, katanya kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan pendidikan sebanyak RM16 juta untuk SAR (RM6 juta), SJKC (RM6 juta) dan SJKT (RM4 juta). Katanya, keseluruhan peruntukan bagi bantuan pembangunan pendidikan fasa pertama melibatkan SAR, SJKC dan SJKT adalah sebanyak RM6,652,786. Beliau yang juga Adun Selat Klang berkata, Sekolah Agama Rakyat yang menerima peruntukan Fasa Pertama 2011 adalah sebanyak 121 buah sekolah, manakala Sekolah Jenis Kebangsaan Cina sebanyak 75 buah sekolah dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil pula sebanyak 97 buah sekolah. Permohonan Bantuan Pembangunan Pendidikan bagi Fasa Kedua pula akan dibuka bermula 10 Jun 2011 manakala tarikh tutup permohonan pada 11 Julai 2011. Borang boleh didapati sama ada melalui portal selangor http://www.selangor.gov.my/main.php, pejabat Adun, Pusat Khidmat Masyarakat atau Unit Pendidikan di talian 03-55212283. |
Khamis, 9 Jun 2011
Selangor serah RM6 juta bantuan pendidikan
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan