Khamis, 9 Jun 2011

Pindaan RUU PPKB bersifat kosmetik

Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali


Merujuk kepada pindaan Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (RUU PPKB) yang dicadangkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan, saya sukacita ingin memaklumkan bahawa sebahagian tuntutan pemilik tanah Kampung Baru sebelum ini yang saya suarakan selaku Wakil Rakyat Titiwangsa telah diambilkira oleh pihak Kementerian.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa perkara yang perlu juga dipinda dan dijelaskan kepada para penduduk sebelum dibentangkan di Parlimen.

Kedudukan Lembaga MAS

Fasal 57 RUU PPKB 2010 yang asal memperuntukkan pembubaran Enakmen MAS & Lembaga MAS telah dipotong. Ini sesuatu yang baik tetapi dengan pindaan ini apakah status Lembaga MAS di dalam PPKB?

Lembaga MAS masih wujud dan dalam masa yang sama PPKB juga bertindak sebagai pentadbir Kampung Baru. Kenapa perlu ada dua (2) badan yang mengurustadbir Kampung Baru?

Oleh yang demikian, saya mencadangkan Kementerian memperkasakan kedudukan Lembaga MAS ini dengan terus menyerap Lembaga MAS sebagai Penasihat PPKB di bawah Fasal 19 RUU PPKB 2010.

Rasionalnya ialah jika melihat kepada Fasal 19 & 20 RUU PPKB 2010, ia menubuhkan suatu Majlis Penasihat yang dimaklumkan oleh Kementerian keanggotaannya akan dilantik daripada kalangan anggota Lembaga MAS.

Jika keadaan sedemikian, adalah lebih baik dinyatakan secara khusus di Fasal 19 tersebut bahawa Lembaga Pentadbiran MAS akan bertindak sebagai Majlis Penasihat kepada Perbadanan.

Dengan ini Fasal 20 RUU PPKB 2010 tidak diperlukan lagi kerana Lembaga MAS sendiri telah mempunyai keanggotannya sendiri yg terdiri daripada ketua kampung yang mewakili tujuh (7) kampung dalam Kampung Baru dan juga Pengerusi.

Dengan kata lain, Pengerusi Lembaga MAS bertindak sebagai Pengerusi Majlis Penasihat dan seterusnya. Ini akan lebih menjamin hak pemilik tanah Kampung Baru kerana Lembaga MAS yang mentadbir Kampung Baru boleh menjadi pengimbang (check & balance) kuasa Perbadanan yang luas itu.

Keanggotaan Perbadanan

Fasal 5(1) Keanggotaan Perbadanan telah dikurangkan dan ditambah. Penambahan dibuat dengan memasukkan Timbalan Pengerusi yang mana dalam RUU PPKB 2010 yang asal jawatan ini tidak ada.

Di dalam Huraian kepada pindaan RUU ini, Kementerian merasionalkan penambahan jawatan Timbalan Pengerusi itu yang dikatakan akan dilantik daripada kalangan pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru tetapi peliknya di dalam Fasal 5(2) hanya menyebut bahawa Pengerusi dan Timbalan Pengerusi hendaklah seorang Melayu mengikut Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan.

Kenapa dalam Fasal 5(2) ini tidak disebut perlantikan mestilah di kalangan pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru? Adakah ada helah di sebalik perlantikan ini?

Fasal 5(1) (f) di dalam RUU PPKB 2010 yang asal memperuntukkan tidak lebih daripada dua (2) orang pemilik tanah Kampung Baru tetapi telah dipotong dan digantikan dengan Fasal 5(1)(g) iaitu tidak lebih daripada lima (5) orang wakil Badan Bukan Kerajaan (NGO) .

Kenapa pertukaran ini dibuat? Apa faedahnya dan kebaikannya melantik lima (5) orang wakil daripada Badan Bukan Kerajaan?

Adakah ini juga disebabkan lobi-melobi daripada Badan-badan Bukan Kerajaan yang diketahui mempunyai kepentingan-kepentingan tertentu atau yang gilakan jawatan di dalam Perbadanan? Apakah signifikannya perlantikan mereka ini?

Mekanisma Pembangunan

Mengikut RUU PPKB 2010 yang asal ada disebutkan penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960 di Fasal 15(2)(h) tetapi dalam pindaan yang dicadangkan, peruntukan itu telah dipotong.

Perlu diambil ingatan bahawa dengan pemotongan Fasal 15(2)(h) tersebut ia tidak memberikan apa-apa makna kerana Akta Pengambilan Tanah 1960 masih boleh digunakan. Akta Pengambilan Tanah 1960 adalah Akta Parlimen yang umum dan ia boleh digunakan pada bila-bila masa walaupun tiada sebarang peruntukan mengenainya dimasukkan di dalam sesuatu undang-undang kerana Akta Pengambilan Tanah 1960 ini memberikan kuasa pengambilan tanah yang luas samada diperuntukkan secara spesifik ataupun tidak.

Jika benar Akta Pengambilan Tanah 1960 tidak mahu dan tidak akan digunakan kenapa tidak dimasukkan terus peruntukan yang spesifik bahawa Akta Pengambilan Tanah 1960 tidak akan digunakan dalam pembangunan Kampung Baru?

Jika begitu keadaannya, bagaimanakah pula bentuk rancangan pembangunan yang hendak dijalankan? Apakah ia akan melibatkan pemindahan penduduk sepanjang tempoh pembangunan tersebut?

Jika perlu dipindahkan, ke mana dan adakah sebarang pampasan atau gantirugi yang akan diberikan?

Persoalan-persoalan ini masih kabur kepada sebilangan besar penduduk Kampung Baru dan perkara ini perlu diberikan penjelasan yang cukup oleh pihak Kementerian.

Apa yang paling penting sekali ialah RUU yang asal yang telah dibentangkan pada 14 Disember lepas masih belum ditarik balik di Parlimen.

Segala pindaan yang dicadangkan itu tidak bermakna dan tidak akan menjadi sebahagian daripada undang-undang selagi mana RUU yang asal masih berada di Parlimen.

Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali adalah Ahli Parlimen Titiwangsa

Tiada ulasan: