Rabu, 15 Jun 2011

PAS harap Sarawak tidak pinggir atlet berpotensi

Harakahdaily


KUCHING: Pemuda PAS Sarawak akan berusaha untuk memastikan keperluan atlet-atlet berpontensi negeri seperti Jack Ho diambil perhatian oleh kerajaan negeri.

“Saya akan pastikan perkara ini didengari sekali lagi oleh menteri yang terbabit dan diambil perhatian serius oleh persatuan yang berkenaan,” kata Ketua Pemuda PAS negeri, Mohammad Arifiriazul.

Katanya, pihaknya akan terus bersama-sama para atlet Sarawak dalam memperjuangkan hak meraka dan memastikan sukan di negeri ini akan terus meningkat kepada pencapaian yang membanggakan.

Beliau menyatakan demikian pada perjumpaan dengan Jack Ho, baru-baru ini.

Jack Ho merupakan seorang atlet triathlon Sarawak yang pernah mengharumkan nama negeri di pentas sukan antarabangsa.

Jack bertemu Pemuda PAS Sarawak kerana ingin berkongsi permasalahan yang dihadapi oleh atlet sepertinya dan serta kurangnya sokongan daripada persatuan di peringkat negeri mahupun dari pihak kerajaan negeri sendiri.

Beliau merupakan salah seorang atlet elit triathlon di Malaysia.

Banyak pencapaian yang membanggakan antaranya menjadi atlet tunggal Malaysia di Kejohanan Sukan Universiti Australia 2009, tempat kedua Kejohanan Xterra Malaysia-Kuantan Triathlon, penyertaan di Kejohanan Triathlon Antarabangsa Port Dickson, Kejohanan Triathlon Antarabangsa OSIM Singapore dan banyak lagi pencapaian yang membanggakan.

Perkara yang menjadi permasalahan kepada atlet seperti Jack Ho dalam usaha membina kerjaya sebagai atlet professional bagi mengharumkan nama Sarawak adalah berkenaan dengan dana bagi membiayai kos-kos penyertaan kejohanan-kejohanan peringkat tempatan dan antarabangsa.

Beliau telah beberapa kali bertemu dengan Persatuan Triathlon Sarawak yang menjadi tulang belakang kepada sukan itu namun alasan yang diberikan adalah tiada dana disalurkan kepada persatuan.

Beliau juga pernah bertemu dengan Datuk Lee Kim Shin, Menteri Muda Sarawak namun jawapan yang diberikan cukup mengecewakan.

“Saya telah bertemu dengan persatuan dan menteri muda sukan sendiri berhubung bantuan penajaan dan pembiyaan ini, namun semua jawapan yang adalah sama iaitu tiada dana yang diperuntukkan.

“Datuk Lee Kim Shin juga menyebut bahawa sukan ini tidak termasuk dalam Sukma (Sukan Malaysia) sebab itu kita tiada peruntukan untuk membiayai altet bagi sukan ini.

Tapi saya merasa hairan kenapa pihak negeri hanya memandang Sukma, kenapa tidak menilai bahawa sukan triathlon ini dipertandingkan di peringkat Olimpik,” kata Jack Ho pada pertemuan tersebut.

Tiada ulasan: