Khamis, 16 Jun 2011

Najib pun tak berani buat pilihan raya tahun ini !

Oleh Dinsman


Kemana-mana pergi orang masih lagi bercakap pasal kemenangan angkatan baru dalam PAS yang diketuai Mat Sabu. Suasana dan moodnya agak lain macam sedikit. Tak tahu kenapa! Terasa macam semua orang bergembira dengan kemenangan angkatan atau kumpulan baru ini. Entah saya yang terasa begitu kerana saya memang sukakan orang-orang ini, atau memang betul ada suasana dan mood yang begitu, tak dapatlah nak dipastikan.


Tapi tengoklah ucapan Tok Guru Nik Aziz sendiri malam itu di Taman Melewar. Jelas dan terang menampakkan kegembiraannya menyambut kemenangan Mat Sabu, hingga dibandingkannya dengan panglima perang Islam Khalid Ibn Walid dan graduan yang pulang dari Mesir, bagi menegaskan yang Mat Sabu lebih memahami Islam daripada mereka.

Malah Tok Guru Nik Aziz juga mengatakan dengan kemenangan Mat Sabu ini orang-orang Umno akan tak lena tidur. Begitu besar sekali impaknya.

Maka ketika berbual-bual di sebuah restoran dengan kawan-kawan orang filem dan drama, (kebetulan mereka ada yang sedang meninjau lokasi untuk filem baru mengenai fenomena rock 80-an, dan ada kawan yang sedang merancang sebuah videoklip atau dokumentari pendek kempen pilihanraya PR), saya mengatakan: “Dengan kemenangan Mat Sabu dan angkatan baru PAS ini, Najib tak akan berani buat pilihan raya dalam tahun ini.”

“Mana dia nak berani,” sambut seorang pengarah filem dari Melaka, yang kebetulan juga ahli PAS, “itu yang baru menang semua tu samseng PAS tu!”

Nah! Mat Sabu, Salahuddin, Husam, Mahfuz, Mazlan Aliman dan Dr Hatta itu diistilahkan-nya sebagai “samseng PAS”. Tapi kita jangan terkejut. Ini istilah di kalangan rockers dan orang-orang filem angkatan baru. Pengertiannya baik dan positif

Maksudnya ialah orang-orang yang berani, handal, cerdik, ikhlas, tak takut ditangkap, pernah ditahan ISA, pernah masuk penjara, tak teragak-agak untuk mengambil keputusan yang agresif, atau turun berdemonstrasi di jalanraya.

Itulah imejnya bagi golongan seniman yang agresif itu. Bagi golongan rakyat kebanyakan pula mereka itu adalah pemimpin-pemimpin yang berjiwa rakyat. Mereka adalah pejuang rakyat yang telah terbukti sanggup berkorban demi kepentingan rakyat

Begitulah, nampaknya PAS pasca-muktamar 57 ini sedang memasuki satu era baru, yang menjanjikan beberapa harapan baru. Bukanlah Mat Sabu, Salahuddin, Husam dan Mahfuz yang membawa PAS memasuki era baru ini, tetapi ahli-ahli PAS yang memilih mereka itulah yang secara ramai-ramai telah membuat keputusan berani untuk melakukan perubahan.

Mereka telah memilih satu angkatan pimpinan yang mereka percaya mampu untuk membuat perubahan. Bukan soal label ulama atau professional yang menjadi pertimbangan. Hal itu mereka letak sebelah dulu buat masa ini, kerana ada perkara yang lebih penting daripada itu. Seperti saya katakan dalam keluaran lalu: Realiti politik hari ini.

Pengalaman dalam pilihan raya umum yang lalu dan dalam beberapa pilihan raya kecil, serta berita-berita yang mendedahkan kerja-kerja jahat pihak Umno-BN yang mengkhianati dasar dan prinsip-prinsip demokrasi dan keadilan, seperti memberi kerakyatan sewenang-wenang kepada pendatang asing semata-mata untuk mendapatkan undi mereka, dan sebagainya – itu semua yang mencorakkan sikap dan pemikiran rakyat, khasnya ahli-ahli PAS, bahawa yang diperlukan hari ini adalah tokoh-tokoh yang memiliki sifat-sifat mirip ‘samseng’ seperti Umar al-Khattab yang agresif itu, untuk mengubah keadaan.

Syabas ahli-ahli PAS!

Sekarang muktamar telah selesai. Pemilihan sudahpun dibuat. Yang menang bergembiralah sekejap kerana menang. Tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan sedang menanti. Manakala yang kalah pula tak perlu bersedih, kecuali kalau anda mempunyai niat dan kepentingan peribadi seperti kebanyakan pemimpin Umno. Harap-harap tidaklah ya! Ruang untuk berjuang dan berbakti sedikit pun tak berkurang kerana kekalahan itu.

Alhamdulillah, di sini PAS menunjukkan satu perbezaan yang besar dan jelas dibandingkan dengan Umno. Kematangan dan kewajaran berpolitik dalam Islam. Ada had dan batas-batasnya. Makanya pimpinan PAS tidak pernah bimbang untuk menghadapi pemilihan, padahal di pihak Umno mereka sanggup menunda agenda pemilihan pimpinan mereka kerana bimbang ia akan menjejaskan gerakkerja pilihan raya.

Di sini saja pun boleh dinilai ciri-ciri keIslaman PAS dan ciri-ciri keIslaman Umno (kerana masih ada orang Melayu yang percaya Islam Umno itu lebih baik daripada Islam PAS). Dan di sini juga sepatutnya orang-orang Umno memperhatikan ciri-ciri politik PAS dan mengapa PAS tidak memisahkan politik dengan agama.

Ada perbezaan antara ciri-ciri politik PAS dengan ciri-ciri politik Umno, dan perbezaan itu boleh dilihat dalam cara mereka menghadapi dan melalui proses pemilihan pemimpin. Dalam PAS mereka melakukannya kerana kepentingan agama, dan berdasarkan nilai dan peraturan yang ditetapkan oleh Islam. Bukannya kerana kepentingan peribadi atau untuk merebut peluang membuat harta dan kekayaan material.

Tetapi apakah dalam Umno mereka mengadakan pemilihan pemimpin kerana kepentingan agama, dan menghadapi serta melalui prosesnya berdasarkan nilai dan peraturan yang ditetapkan oleh Islam?

Jawapannya adalah tidak. Sebab itulah mereka tidak pernah memahami kenapa PAS tidak mahu memisahkan politik dengan agama. Ini adalah asas perbezaannya. Dan agak menghairankan di kalangan ilmuan Islam kita pun masih ramai yang menyokong supaya politik di negara ini hendaklah dipisahkan dari agama.

Mereka memahami politik itu dengan fahaman dari Barat. Itulah masalahnya. Pemikiran masih tidak merdeka daripada pengaruh Barat. Tetapi cubalah fakir – wajarkah orang Islam berfikir dengan pemikiran Barat yang menolak Islam?

Dan sekarang kita mempunyai “samseng-samseng PAS” ini sebagai pemimpin, bagi menghadapi golongan yang masih enggan berfikir dengan pemikiran Islam itu, dan enggan menerima hakikat yang rakyat negara ini sudah menolak kepimpinan mereka, dengan bergantung pada undi-undi ‘hantu’ yang pelbagai jenis itu.

Kalau istilah ‘samseng’ ini pun akan dimanipulasi oleh mereka, ingatlah suatu ketika dulu kita pernah kecoh sekejap dengan isu “Tuhan samseng”, ekoran mereka itu tidak memahami fikiran kita, disebabkan mereka berfikir ikut pemikiran Barat, sedangkan kita berfikir mengikut pemikiran Islam seperti yang terdapat dalam Quran dan Sunnah.

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my

Tiada ulasan: