Khamis, 2 Jun 2011

Kes Aminulrasyid : Keputusan Laporan Polis Jenain Boleh Kemuka Di Mahkamah 10 Jun Depan

TVS NEWS

SHAH ALAM : Mahkamah Sesyen di sini hari ini menangguhkan sehingga 10 Jun ini untuk membuat keputusan sama ada pihak pendakwaan boleh mengemukakan laporan polis yang dibuat tertuduh Koperal Jenain Subi dalam kes kematian Aminulrasyid Amzah semasa perbicaraan.

Hakim Latifah Mohd Tahar menetapkan tarikh itu selepas dimaklumkan bahawa tertuduh tidak dapat ke mahkamah sehingga esok selepas diberikan cuti sakit.

Bagaimanapun, penjamin Jenain iaitu isterinya, Siti Nuraniza Tamrin, 37, hadir di mahkamah untuk menyerahkan cuti sakitnya.

Menurut Noraniza,Jernain mengalami sakit gout dan dibawa ke klinik malam tadi dan diberi cuti sakit sehingga esok.

Mahkamah sebelum ini turut menetapkan hari ini dan esok untuk menyambung perbicaraan Jenain, 48, yang diperintah membela diri atas tuduhan menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, antara 1.10 pagi dan 2 pagi di Jalan Tarian 11/2 di sini, pada 26 April tahun lalu.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan, yang jika
disabitkan kesalahan, boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan boleh didenda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar, Idham Abd Ghani dan Adilla Ahmad sementara Jenain diwakili peguam M. Athimulan, Salim Bashir dan Halim Ashgar Mohd Hilmi.

Isu mengenai laporan polis tersebut timbul pada perbicaraan lepas apabila pihak pembelaan membantah cubaan pendakwaan untuk menyoal Jenain berhubunglaporan polis yang dibuatnya beberapa jam selepas kejadian.

Pihak pendakwaan mendakwa keterangan Jenain di mahkamah bercanggah dengan laporan polisnya.

Sementara itu ibu Aminulrashid, Norsiah Ahmad awal Mei lalu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Petaling Jaya kerana percaya wujud konspirasi untuk melindungi anggota dan pegawai polis yang terlibat dalam tragedi itu dari tindakan undang-undang.

Dalam laporan polis itu Norsiah berkata , polis memfitnah anaknya Aminulrashid dan keluarganya dalam suatu percubaan untuk menutup jenayah terhadap anaknya.

Tiada ulasan: