Khamis, 16 Jun 2011

Kepimpinan baru PAS Terengganu lebih mantap

Aziz Muda


KUALA LUMPUR: PAS Terengganu akan membentuk kabinetnya atau jawatankuasanya yang baru dalam masa terdekat bagi membolehkannya bergerak lebih aktif mendepani cabaran.

Sehubungan itu, satu mesyuarat khas berhubung perkara itu akan diadakan paling lewat Sabtu ini, bagi membolehkan barisan kepimpinan PAS yang mantap dapat dibentuk segera di negeri itu.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut (gambar) berkata, kabinet baru PAS Terengganu yang akan dibentuk itu adalah kabinet pilihanraya.

Menurut beliau, ini kerana barisan kabinet yang akan dibentuk itu adalah untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.

Katanya, sejajar dengan itu, barisan jawatankuasa itu adalah tertdiri daripada mereka yang ternyata berkebolehan, berwibawa dan boleh diharapkan untuk PAS Terengganu menghadapi PRU Ke-13 dengan baik.

"Kabinet baru yang akan dibentuk itu adalah gabungan golongan ulama, profesional dan aktivis dalam PAS.

"Ini sejajar dengan langkah yang diambil oleh PAS Pusat yang memilih dan melantik kabinetnya dengan gabungan ketiga-tiga golongan itu dalam parti," katanya ketika ditemui di lobi bangunan Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, demi kepentingan tertentu, beliau tidak mahu menjelaskan nama-nama calon barisan kabinet baru yang akan dibentuknya itu.

"Saya akan memanggil mesyuarat khas bagi membincangkan perkara itu pagi Sabtu ini di Markas Tarbiyah PAS Kuala Terengganu.

"Sebaik sahaja selesai mesyuarat itu, saya akan mengadakan sidang akhbar di tempat yang sama. Jadi saya bercadang untuk mengumumkan nama-nama barisan kabinet itu pada sidang akhbar itu," katanya.

Untuk membentuk kabinet barunya itu, beliau mengakui mengalami kerumitan walaupun Terengganu sememangnya mempunyai ramai calon yang berkelayakan.

"Memang Terengganu mempunyai ramai calon yang berkelayakan. Tapi ada ramai calon yang berkelayakan juga turut menyebabkan saya pening kepala kerana ia menyebabkan saya menjadi serba salah untuk membuat pemllihan.

"Sebab itulah saya tak mahu mengumumkannya sekarang. Saya mahu membuat pemilihan hasil dari rumusan dalam mesyuarat yang akan diadakan Sabtu ini kerana itulah langkah terbaik yang patut dibuat," jelasnya.

Perlantikan terhadap beliau sebagai Pesuruhjaya PAS Terengganu oleh Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang, turut mengejutkan beliau kerana ia di luar jangkaannya sama sekali.

"Pada hal di Terengganu masih ramai lagi orang yang berkelayakan untuk dilantik sebagai pesuruhjaya. Saya tidak menyangka sama sekali Presiden akan melantik saya untuk melaksanakan amanah ini," katanya.

Beliau berjanji akan melaksanakan amanah yang diberikan itu dengan baik bersama rakan-rakannya, bagi membolehkan PAS Terengganu terus maju seperti yang diharapkan oleh seluruh rakyat Terengganu khasnya dan Malaysia amnya.

Tiada ulasan: