Khamis, 16 Jun 2011

Kelemahan agensi Kementerian Belia dan Sukan punca rasuah bola

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Kedah, Ahmad Kassim berkata isu rasuah sukan termasuk rasuah bola sepak yang melanda negara baru-baru ini, berpunca dari kelemahan agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Beliau berkata demikian dalam perbahasan Rang Undang-undang Institut Sukan Negara (Pindaan) 2011 yang dibacakan buat kali kedua di Dewan Rakyat, hari ini.

“Gejala negatif ini merebak kerana kelemahan agensi itu sendiri. Nama negara dan ahli sukan yang lain akan rosak,” katanya sambil mempersoalkan samada pindaan undang-undang tersebut turut mengambil kira aspek latihan rohani kepada pegawai agensi berkaitan.

Ahmad mengulas arena sukan bola sepak negara dikejutkan dengan laporan media mengenai dakwaan rasuah melibatkan pemain dan pegawai pasukan bola sepak Piala Presiden Negeri Sembilan, baru-baru ini.

“Yang paling kecewa sudah tentu peminat sukan dan keseluruhan rakyat Malaysia,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau mempersoalkan peranan anak syarikat milik KBS yang menganjurkan kejohanan dengan peruntukan kerajaan.

“Apabila satu institusi ditubuhkan di bawah akta Syarikat dengan kapasiti Sendirian Berhad, entiti itu mempunyai autoriti tertentu.

“Bagaimana KBS mengawal perbelanjaan yang mencecah jutaan ringgit daripada sebarang kerugian? Apakah KBS akan melakukan ‘bail-out’?, soalnya.

Ia berhubung pendedahan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dalam soalan bertulisnya semalam, menuntut kerajaan menyatakan tindakan yang diambil berikutan kelewatan Sukom Ninety Eight Berhad menutup laporan kewangan Sukan Komanwel 1998.

Ahmad mempersoalkan samada syarikat di bawah agensi kerajaan bersaing untuk mendapat tender secara terbuka, atau melalui runding terus.

“Apakah Menteri menggunakan budi bicara dan memberinya kepada syarikat kroni?

“Apa yang dibimbangi ialah dengan lobi kerajaan, kontrak mudah diperolehi walaupun tender belanjanya lebih mahal,” jelas Ahmad Kassim.

Tiada ulasan: