Ahad, 12 Jun 2011

KDN siasat KIT

SINAR HARIAN ONLINE




PENDANG - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat dakwaan Kelab Isteri Taat (KIT) dipercayai ada kaitan dengan pergerakan Al-Arqam untuk mengesan jika ia boleh mengancam keselamatan negara.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pemantauan dilaksanakan walaupun belum menerima laporan kelab terbabit menjejaskan keselamatan negara.

“Kita sedang siasat (dakwaan itu) dan saya ada terima laporan, tetapi setakat hari ini (semalam) saya belum dapat laporan menunjukkan mereka menjejaskan keselamatan negara.

“Namun, sesiapa sahaja termasuk saya, kalau melanggar undang-undang tetap berdepan tindakan, malah jika kumpulan ini melanggar undang-undang atau lebih serius lagi, menjejaskan keselamatan negara, saya percaya polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan,” katanya mengulas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, mengenai ahli KIT yang dipercayai antara cabang Al-Arqam kerana berasal dari kelompok Global Ikhwan.

Menurutnya, beliau turut mengalu-alukan Dr Mashitah untuk menyalurkan maklumat mengenai perkara berkenaan kepada kementeriannya.

Sementara itu, mengulas mengenai Himpunan Gerakan Bersih 2 yang akan diadakan 9 Julai ini, Hishammuddin berkata, polis dan KDN akan membuat pemantauan supaya ketenteraman negara tidak terjejas.

“Pada saya bukan Pas sahaja, orang yang tidak bersetuju dengan Pas juga mahu buat perhimpunan. Banyak permintaan yang tidak bersetuju (dengan Bersih), yang penting polis dan kementerian akan pantau, jangan sampai huru-hara negara kita,” katanya.

Tiada ulasan: