LENGGENG: Dua anggota Ikatan Relawan Rakyat (RELA) yang baru menamatkan tugas di Depoh Tahanan Imigresen Lenggeng terbunuh selepas motosikal ditunggangi mereka dirempuh sebuah Mitsubishi Storm di Jalan Lenggeng-Mantin pada pukul 11.30 malam Jumaat.
Mereka yang terbunuh dikenali sebagai Zainal Abidin Nordin, 46, dan Amran Ahmad, 36, yang masing-masing menunggang motosikal berasingan dan bergerak pulang beriringan sebaik sahaja selesai bekerja.
Menurut polis, kenderaan pacuan empat roda, yang dipandu seorang lelaki berusia 40-an, dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan lalu merempuh motosikal mangsa sebelum terbalik akibat cuba mengelak daripada melanggar seekor kucing yang tiba-tiba melintas jalan.
Kucing itu mati dilenyek tayar kenderaan besar itu.
"Kedua-dua mangsa terbunuh akibat kecederaan parah di kepala. Pemandu Storm terbabit terselamat," katanya kepada Bernama.
Jenazah kedua-dua mangsa di bawa ke Hospital Seremban untuk dibedah siasat.
Seorang saksi Norzita Shamsuddin, yang juga rakan setugas kepada kedua-dua mangsa, berkata kemalangan berlaku di jalan yang lurus tetapi agak gelap.
Katanya dia bersama suaminya, yang menunggang motosikal lain, berada di belakang kedua-dua mangsa apabila tiba-tiba terdengar bunyi dentuman.
"Saya tidak melihat apa yang berlaku kerana mereka (mangsa) telah melepasi satu selekoh. Bila sampai, saya lihat Mitsubishi Storm terbalik. Saya berhenti untuk membantu dan ketika itu baru saya terperasan kedua-dua motosikal milik rakan setugas remuk dilanggar," katanya.
Luluh hati apabila melihat mayat Zainal kerana sebelum tamat bertugas, allahyarham secara berseloroh memberitahu dia mahu bercuti lama, kata Norzita.
Norzita, yang tidak dapat menahan sebak, bercerita Amran pula berwajah pucat sejak dua minggu lepas dan dia tidak menyangka kedua-dua rakan setugas yang sudah lama dikenalinya itu maut ketika dalam perjalanan ke rumah masing-masing, yang terletak di Mantin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan