Rabu, 8 Jun 2011

Chegubard kekal dengan PKR… buat masa ini

ROKET KINI.COM


KUALA LUMPUR – Pemimpin muda PKR Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali dengan panggilan Chegubard yang dikatakan akan keluar parti untuk menyertai DAP atau PAS, masih kekal dengan PKR yang disertainya sejak 1999.

Ketua Cabang PKR Rembau itu menjelaskan bahawa selagi beliau tidak dipecat oleh PKR, selagi itu beliau akan terus bersama dengan parti berkenaan.

“Biarlah saya katakan bahawa saya akan tetap menegur apa yang salah dan mempertahankan apa yang benar, termasuk dalam parti. Saya belum buat apa-apa keputusan.

“Lagi pun, kalaulah saya (yang mengkritik pimpinan parti) sekarang berada dalam mana-mana parti komponen Barisan Nasional, rasanya sudah lama saya dipecat,” katanya kepada Roketkini.

Beliau yang telah mempertikaikan proses pemilihan PKR pada akhir tahun lalu – sebelum dan selepas pengundian diadakan – di mana beliau bertanding jawatan Ketua Angkatan Muda Keadilan tetapi tewas kepada penyandang Shamsul Iskandar Md Akin, telah dikecam hebat oleh beberapa pemimpin utama parti.

Apabila ditanya sama ada DAP atau PAS bakal menjadi pilihan, jika benar-benar membuat keputusan meninggalkan PKR, Chegubard ketawa dan hanya menjawab: “Belum tahu lagi”.

Beliau mengakui faham dengan matlamat dan konteks prinsip Malaysian Malaysia serta Utamakan Rakyat Malaysia yang dibawakan oleh DAP.

“Saya tak nampak pun elemen negatif di situ, tetapi ia diwajahkan menjadi negatif oleh Barisan Nasional, sentiasa ditakutkan, sentiasa dimomokkan,” katanya.

Menurutnya, serangan UMNO dan BN terhadap DAP adalah kerja pecah perintah dan taktik lama yang mereka warisi dari penjajah.

Beliau menjelaskan, UMNO mahu menakutkan orang Melayu kerana bimbang DAP yang sudah membentuk kerajaan dan mentadbir dengan baik bersama dengan PKR dan PAS di Pulau Pinang akan dapat menarik sokongan orang Melayu kepada Pakatan Rakyat.

“(Mengikut propaganda UMNO) apabila orang Cina sokong MCA atau SUPP, itu bukan perkauman, tetapi jika orang Cina menyokong DAP, maka ia perkauman. Jadi DAP menanggung beban yang lebih.

“Jika DAP berjaya bawa masuk orang Melayu menjadi ahli, menerima orang Melayu sebagai pemimpin, DAP akan berjaya menjadi parti yang benar-benar berwajah Malaysia. Dengan itu habislah UMNO dan BN,” tambah beliau.

Chegubard yakin DAP dapat kekal sebagai parti pelbagai kaum yang berprinsip dan adil walau pun ia membuka ruang yang lebih dan memberi pendidikan politik kepada kelompok pemimpin Melayu yang muda.

“Saya percaya dan yakin, dalam tempoh satu atau dua penggal ini, jika DAP berjaya mengubah wajah seperti itu, dengan menampilkan tokoh-tokoh kepimpinan muda Melayu, atau yang bukan Cina, DAP akan menjadi sebuah parti teraju dalam negara ini,” katanya.

Menurutnya eksperimen politik telah pun ditonjolkan sedikit melalui pilihan raya umum 2008 apabila PKR, PAS dan DAP enggan mengikut rentak BN yang meletakkan calon mengikut kaum.

“Ada tempat yang BN letak calon Melayu, kita letak calon Cina, ada tempat yang BN letak calon India, kita letak Melayu. Kita tak guna pakai lagi sistem ikut kaum. Sebab dalam perang, kejayaan yang pertama ialah kita jangan bermain di padang mereka.

“Sekarang yang BN panik kerana kita tak bermain di padang dia, jadi bila keluar dari padang mereka, kita main sistem peraturan lain dan akhirnya kita boleh menang,” jelasnya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: