SINAR HARIAN ONLINE
SHAH ALAM – Calon disenangi dan digemari rakyat selain memiliki ciri kepimpinan yang mampu memancing undi, diberi keutamaan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, sekiranya seseorang itu diminati rakyat, bererti beliau memiliki pakej yang lengkap dan boleh diberikan amanah untuk memimpin.
“Pokok pangkalnya, calon itu mesti disukai rakyat. Sekiranya rakyat suka, sudah tentu mereka memiliki integriti dan disiplin yang baik kerana kita berjuang untuk membela nasib rakyat.
“Kita mengambil kira penerimaan rakyat terhadap seseorang calon, tidak mungkin kita letakkan calon yang tidak dikenali rakyat, lebih malang rakyat tidak suka seseorang itu,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Ketua Penerangan MIC, S Murugesan berkata, pada dasarnya, seseorang calon perlu memiliki perwatakan menarik dan mesra rakyat.
Menurutnya, faktor persepsi turut menjadi kuasa pembayang untuk menilai imej seseorang individu sama ada gagal mempertahankan integritinya di hadapan kaca mata umum.
“Tanggapan rakyat terhadap seseorang calon itu menunjukkan tahap dan prestasi yang ada padanya. Calon kegemaran rakyat adalah salah satu kriteria penting di samping elemen-elemen lain yang perlu diberi perhatian.
“Mereka yang dipilih perlu memenuhi ciri-ciri kegemaran rakyat, boleh mendengar masalah dan keluhan serta bijak mendekati mereka. Tidak mustahil mereka ini akan memberikan impak dalam percaturan politik negara,” katanya.
Selain itu, Murugesan berkata, calon yang berdedikasi juga diambil kira untuk menentukan seseorang itu layak menjadi calon dalam PRU-13 nanti dan tidak hilang kepercayaan rakyat.
“Calon yang menunjukkan dedikasi tinggi terhadap tugas diamanahkan juga akan diambil kira di samping memiliki perwatakan menarik dan menjadi tumpuan rakyat,” katanya.
Senada dengan dua wakil parti komponen Barisan Nasional (BN) itu, Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Chong Ha pula menyokong sepenuhnya sekiranya pemimpin pilihan rakyat dicalonkan dalam PRU-13.
“Dalam mana-mana pilihan raya, calon yang diletakkan perlu diterima pengundi. Mereka perlu memiliki ciri-ciri bertanggungjawab menggalas amanah yang diberikan untuk meraih undi rakyat.
“Selain itu, faktor integriti dan disiplin yang baik adalah antara elemen yang perlu diambil kira,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan