Isnin, 6 Jun 2011

Ajak orang muda sertai DAP: Wong Ho Leng

ROKET KINI.COM



SIBU: DAP Sarawak telah melancarkan kempen mengalakkan ahli-ahlinya supaya menarik golongan muda di negeri itu untuk menyertai parti tersebut.

Pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng berkata usaha itu penting kerana undi golongan muda dapat menentukan hala tuju dan masa depan pentadbiran negeri.

Menurutnya, golongan muda yang berusia di antara 21 dan 50 tahun mewakili separuh jumlah pengundi berdaftar.

“Jika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pun melihat betapa pentingnya peranan golongan muda (dengan mengadakan program Perhimpunan Sejuta Belia di Putrajaya), kita dalam DAP juga dapat melihat semua itu,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat agung DAP cawangan Sibu di sini minggu lalu.

Menurutnya, kemasukan golongan muda dalam DAP dapat memberi imbangan positif serta menggerakkan parti untuk terus maju.

Wong yang juga Ahli Parlimen Sibu dan Ahi Dewan Undangan Negeri Bukit Assek berkata DAP mengalu-alukan penyertaan ahli-ahli baru, sama ada yang muda atau tua, bagi memastikan perubahan dapat dilaksanakan di Sarawak.

“Kita sentiasa membuka pintu kepada mereka yang yakin dengan usaha kita untuk membawa perubahan di Sarawak,” kata beliau yang turut dipilih semula sebagai pengerusi parti cawangan Sibu di mesyuarat agung itu.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata DAP akan berbincang dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat di negeri itu dalam soal dasar-dasar bersama serta pembahagian kerusi bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Bagi bahagian tengah Sarawak, Wong berkata DAP berhasrat untuk bertanding di empat kerusi Parlimen termasuk Sibu dan Lanang.

Bagaimana pun, beliau menjelaskan perkara itu akan dihalusi dalam perbincangan yang bakal diadakan dengan parti-parti komponen Pakatan Rakyat.

DAP Sibu turut meluluskan resolusi yang antara lain menuntut kerajaan negeri Sarawak supaya:

  • Melaksanakan amalan tender terbuka bagi semua projek kerajaan;
  • Melawan rasuah dan penyelewengan secara bersungguh-sungguh
  • Meningkatkan kecekapan polis dalam menangani jenayah;
  • Mengkaji semula kanun tanah dan pemberian royalti minyak dan gas;
  • Menghapuskan tol di Jambatan Lanang;
  • Menyiapkan segera projek kawalan banjir Rejang-Sibu; dan
  • Membina universiti yang lengkap di Sibu.

Wong turut mengingatkan ahli-ahli parti supaya tidak leka dengan kejayaan dalam pilihan raya negeri pada 16 April lalu.

DAP memenangi 12 daripada 15 kerusi DUN yang ditandinginya dalam PRN Sarawak 2011., termasuk berjaya menumpaskan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Tan Sri Dr Geroge Chan.

Tiada ulasan: