Isnin, 24 Januari 2011

Sidang DUN: Debat imbangan kuasa, kelebihan politik



Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bersama Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semasa Majlis Angkat Sumpah di Istana Kayangan. — Foto Bernama

ANALISIS — Meskipun Sultan Selangor dilihat kemungkinan menjadi tumpuan perhatian perbahasan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) pagi ini, baginda tidak memperoleh kuasa tambahan ataupun hilang kuasa yang sedia ada dalam urusan pelantikan pegawai-pegawai kanan perkhidmatan awam negeri.

Pakatan Rakyat (PR) dan Barisan Nasional (BN) menekankan bahawa kedua-dua pihak menjunjung kedudukan raja berperlembagaan, tetapi sidang hari ini hanya akan memutuskan sama ada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang berada dalam kawalan pentadbiran kerajaan pusat, akan terus menjadi suruhanjaya yang berkenaan atau PR yang akan memperoleh apa yang pihaknya mahukan - menteri besar mempunyai kata akhir.

Dengan kekuatan 35 Adun, kurang dua undi dalam DUN yang mempunyai 56 kerusi untuk meminda perlembagaan negeri, status quo peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri Selangor dilihat akan kekal.

Tidak boleh mengharapkan banyak perubahan kecuali BN memberikan undi sokongan dengan berubah pendirian pada minit-minit terakhir. Adakah ini boleh berlaku?

Tetapi setakat malam tadi BN dan parti terasnya menegaskan bahawa mereka akan hadir sidang khas tetapi tidak akan menyokong pindaan.

Jika begitulah keadaannya, hasilan akhir ialah siapa yang akan memperoleh kelebihan politik daripada menjunjung kedudukan Sultan.

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim mendakwa bahawa pindaan yang dibawa akan memberi lebih banyak kuasa kepada Sultan.

Bagaimanapun di sebelah lain, BN yang menguasai kerajaan pusat, mendakwa pentadbiran kerajaan negeri PR merderhaka dengan “cuba untuk berkongsi kuasa Sultan.”

Itu pendirian mereka berdasarkan apa yang ditegaskan oleh timbalan pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar.

Selangor mengesyorkan pindaan Artikel 52(1) yang berkaitan dengan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Penasihat Undang-undang dan Pegawai Kewangan Negeri kembali ke kedudukan sebelum pindaan 1993, yang dibawa ketika era pentadbiran BN.

Ini bermakna Sultan akan mempertimbangkan nasihat menteri besar sebelum sesuatu pelantikan dibuat.

Buat masa sekarang, Artikel 52(1) tidak memberikan peranan perundangan dalam proses pelantikan tetapi BN akan terus meminta perkenan baginda sebagaimana disaksikan dalam kes Datuk Mohd Khusrin Munawi, yang pelantikannya dibuat oleh SPA tetapi berakhir dengan krisis perlembagaan apabila PR tidak memberikan ‘persetujuan’.

PR menegaskan kedudukan Sultan bertindak atas nasihat adalah lebih baik berbanding dengan situasi di mana baginda tidak terlibat langsung.

“Pindaan 1993 yang dibawa Umno mengambil alih kesemua kuasa pelantikan daripada Sultan. Jadi apa yang dilakukan oleh kami tidak menjadikan kedudukan Sultan lebih buruk selepas apa yang mereka lakukan dulu,” ujar Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad.

Exco Kerajaan Negeri Selangor dari PAS Iskandar Abdul Samad menolak tanggapan BN khususnya Umno bahawa pindaan terbaru ini hanya mahu memperkukuhkan kuasa menteri besar.

“Itu tidak benar sama sekali,” kata Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan ini.

“Apa yang kami lakukan, kerajaan Pakatan Rakyat hendak lakukan ialah kembali kepada peruntukan tahun 1959 di mana Sultan ada tempat dalam urusan pelantikan SUK, begitu juga peranan seorang menteri besar,” kata beliau sambil merujuk kepada persekitaran bahawa peruntukan ini akan memanfaatkan sesiapa sahaja yang menerajui kerajaan negeri.

Katanya, pindaan 1959 dibawa bagi meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1948 dan sekali lagi pada 1993 di mana peranan Sultan dan menteri besar sudah tiada.

“Yang ada (mempersembah nama untuk mendapatkan perkenan Sultan) cuma atas dasar ihsan, bukan kuasa (yang jelas) dalam perlembagaan negeri,” kata beliau lagi.

“Tidak kira sama ada kerajaan negeri diterajui Pakatan ataupun BN. Kalau satu hari nanti, Pakatan Rakyat menerajui kerajaan pusat, Putrajaya manakala BN pula mentadbir kerajaan negeri, peruntukan ini akan memanfaatkan kerajaan semasa,” kata beliau.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor ini menekankan selama lima dekad negara hanya menyaksikan pentadbiran satu parti, tetapi kini ada kerajaan negeri berbeza parti di peringkat negeri dan pusat.

Menjawab dakwaan bahawa pindaan itu akan menyebakan kewujudan barisan pegawai perkhidmatan negeri “Pak Turut”, Iskandar berkata, “saya tidak fikir suasana sedemikian akan wujud.”

“Sekarang pun banyak kakitangan awam negeri seperti pengarah dan ketua jabatan dilantik oleh kerajaan negeri, adakah mereka menjadi Pak Turut? Saya rasa tidak. Jadi, tanggapan sedemikian tidak betul,” katanya lagi.

Setiausaha politik kepada Khalid, Faekah Husin berkata menteri besar hanya ada peranan atau kuasa nasihat dan kuasa pelantikan akan “dikongsi.”

“Sultan tidak pernah menolak nasihat menteri besar. Ini yang menjadi kelaziman selama ini,” kata beliau.

Bagaimanapun Umno berkata cara mereka lebih baik.

“Kerajaan negeri cuba untuk meminda perlembagaan negeri Selangor untuk memberi kuasa mutlak kepada menteri besar dengan atasan mahu mengembalikan kuasa kepada Sultan,” kata Ketua Pembangkang Datuk Satim Diman dalam temu bual dengan Utusan Malaysia.

Katanya, isu Khusrin bukannya bererti kuasa Sultan telah terhakis memandangkan baginda juga memberikan perkenan.

“Kami juga mahu bertanya, sebenarnya kuasa dalam bentuk apa yang mereka hendak berikan kepada Sultan,” kata beliau.

Ketua Penerangan Umno Selangor Umno Abdul Shukor Idrus juga mengatakan bahawa aturan semasa sudah cukup bagus dan pindaan yang dibawa oleh kerajaan PR tidak akan membawa sebarang perbezaan kecuali Sultan perlu mendapatkan nasihat menteri besar.

Pun begitu ada perbezaan antara memberikan kuasa kepada menteri besar atau SPA kuasa pelantikan dan setiap perikatan mempunyai pilihan masing-masing yang ketara.

Peguam-peguam dan bekas hakim melihat isu semasa ini dengan dekat dan himpunan semalam bagi menyokong usaha kerajaan negeri akan memberi bayangan hasil pertemuan sidang khas pagi ini.

Pindaan dan sidang khas hari ini akan membawa kemenangan rakyat atau setakat kelebihan politik ataupun kejayaan moral dalam krisis perlembagaan semasa?

Tiada ulasan: