Selasa, 18 Januari 2011

Sepang bakal menjadi kawasan perindustrian

SELANGOR KINI

Oleh NAEEM RAFFI

SEPANG - Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) kini merancang membangunkan kemudahan insfrastruktur Pulau Meranti, Dengkil bagi menjadikan kawasan tersebut sebagai kawasan Perindustrian.

Exco Selangor, Teresa Kok berkata, tekanan pembangunan yang diterima daripada kawasan sekitarnya menjadikan kawasan Pulau Meranti berpotensi untuk dibangunkan dan ia juga akan menaikkan nilai hartanah kawasan tersebut daripada pertanian kepada perindustrian.

“Insfrastruktur dikawasan tersebut tidak lengkap, jalan masuk dan jalan perhubungan untuk kesemua lot-lot kilang juga tidak lengkap,” katanya.

Dalam sidang media di Bilik Mesyuarat Semarak, Aras 4 MPSP pagi tadi, Teresa berkata, MPSP komited untuk membantu pengusaha dan pemilik tanah dikawasan tersebut dalam menyediakan kemudahan prasarana yang melibatkan 38 lot tanah merangkumi kerja-kerja menaiktaraf jalan sepanjang 7.56 km selain kemudahan bekalan elektrik dan air.

Turut hadir, Pegawai Perancang MPSP, Siti Saidatul Hanim, Pengarah Kejuruteraan MPSP, Zulkefli Arif, Ahli Majlis MPSP, Jashela Ayumi dan pengusaha kilang, Leonard Ho.

Teresa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kinrara menyatakan, transformasi Pulau Meranti yang dahulunya sebagai tanah pertanian kepada perindustrian juga merupakan usaha menaik taraf nilai tanah dan membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat.

Berdasarkan Rancangan Tempatan, Daerah Sepang 2015, Pulau Meranti dizonkan untuk guna tanah perindustrian yang terletak di dalam Blok Perancangan 3 Pinggiran Cyberjaya.

Sehingga kini, sekurang-kurangnya 33 kilang telah beroperasi di kawasan sekuas 333.8 ekar dan sejumlah 101 lot tanah lagi masih belum dibangunkan.

Selain itu, pihak MPSP juga akan menubuhkan satu tabung amanah khas untuk membiayai kos-kos penyediaan insfrasturktur secara ‘Private Financial Initiative’ yang melibatkan pemilik Tanah dan Peguasaha Kilang serta agensi kerajaan yang mana akan dimulakan secara berfasa mengikut keutamaan dan keperluan.

“Kita juga perlu wujudkan tabung dan meminta semua pemilik dan tuan tanah lot-lot di kawasan tersebut untuk bersama-sama membiayai projek pembinaan jalan”

“Kalau kita mahu tubuhkan tabung untuk kongsi kos pembangunan, kita perlu kerjasama daripada semua pemilik tanah di kawasan tersebut,” jelasnya.

Tambahnya lagi, dengan pembangunan insfrastruktur di kawasan ini, dijangkakan nilai tanah akan meningkat 10 kali ganda dan berharap semua pemilik tanah di Pulau Meranti akan memberi kerjasama dengan pihak MPSP dalam usaha membangunkan kawasan yang berpotensi ini.

Tiada ulasan: