Isnin, 24 Januari 2011

Semua permohonan Institusi Kemahiran kini melalui UPU

BERNAMA


TAIPING — Permohonan bagi mengikuti latihan di semua Institusi Latihan Kemahiran di bawah pelbagai agensi kerajaan bagi sesi kemasukan tahun ini, kini boleh dibuat melalui dalam talian Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam (gambar) berkata kaedah permohonan itu sejajar dengan hasrat kerajaan untuk mengarusperdana dan memperluaskan akses kepada pendidikan teknikal dan latihan vokasional yang berkualiti.

“Melalui kaedah ini ia juga boleh meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja hingga ke peringkat global...permohonan dan pemilihan kemasukan pelajar ke institusi yang dipohon akan diselaraskan oleh pusat pengambilan setempat yang dijalankan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Latihan Kemahiran Tharshal (PLKT) di sini hari ini.

Sebelum ini permohonan pelajar ke pusat-pusat latihan kemahiran dilakukan di setiap institusi berlainan yang menyukarkan kementerian berkenaan berkongsi maklumat mengenai bilangan permohonan dan keperluan dalam bidang tertentu, kata beliau.

Beliau berkata kokurikulum standard juga akan diwajibkan kepada semua institusi kemahiran yang dikendalikan agensi kerajaan seperti yang ditetapkan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Kementerian Sumber Manusia bagi pemberian Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).

Keseragaman itu untuk memastikan mutu dan tahap pelajaran serta latihan yang diberikan oleh setiap institusi kemahiran adalah selaras, katanya.

Beliau berkata usaha kini sedang dibuat bagi mendapatkan akreditasi bersama dengan institusi dalaman dan luar negara agar semua lepasan institusi kemahiran tempatan memperoleh pengiktirafan antarabangsa.

Tiada ulasan: