Ahad, 23 Januari 2011

PRK Tenang:PR bantah SPR tukar tiga lokasi pusat mengundi

SELANGOR KINI


LABIS – Pakatan Rakyat menyuarakan rasa dukacita dengan keputusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menukar lokasi tiga pusat mengundi DUN Tenang sehari sebelum tarikh penamaan calon.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapha Ali berkata, keputusan tersebut memberi masalah kepada pengundi-pengundi di kawasan itu berikutan lokasi yang lebih jauh.

“Saya pernah menyatakan perubahan di saat akhir tidak begitu baik. Sepatutnya ini dimaklumkan lebih awal kepada kami supaya boleh membuat persiapan. Jadi apabila saat akhir tidak begitu bagus kepada pengundi sebab perubahan tempat ini lebih satu kilometer,” jelas beliau selepas perasmian Jentera Muslimat PAS di sini petang tadi.

Perkara pertukaran lokasi mengundi itu diumumkan Pengerusi SPR, Tan Sri Aziz Yusof pagi tadi.

Pusat mengundi yang terklibat adalah SK Labis, SJKC Labis dan SJKT Labis.

Mustapha turut tidak menolak cubaan pihak tertentu mengurangkan undi kaum Cina kepada PAS.

“Saya tidak tahu apakah muslihat perubahan ini sebab SPR ini ada cara yang kita rasa tidak begitu menepati apa yang sepatutnya dilakukan,” ujar beliau lagi.

Mustapha menambah Pakatan Rakyat akan membawa perkara tersebut supaya dibincangkan pada mesyuarat bersama SPR 24 Januari nanti.

Pada mesyuarat Pakatan Rakyat bersama SPR minggu hadapan, Mustapha bersama kepimpinan PKR dan DAP akan membincangkan empat isu penting iaitu tentangan 100 peratus undi proksi, undi pos, persempadanan pilihanraya cukup tempoh dan penukaran lokasi mengundi.

Tiada ulasan: