Ahad, 30 Januari 2011

Pengundian Tenang ditutup, 71.7 peratus mengundi

TERKINI
THE MALAYSIAN INSIDER


Pengundi dibawa ke pusat-pusat mengundi menggunakan kenderaan bomba. — Foto oleh Choo Choy May

LABIS — Pilihan raya kecil kerusi DUN Tenang yang “terjejas” akibat hujan lebat dan banjir sejak pagi lagi menyaksikan peratusan keluar mengundi hanya 71 peratus berbanding 80 peratus diramalkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Proses pengundian ditutup pada pukul 5 petang sebagaimana dijadualkan sebelum ini.

Maklumat SPR menunjukkan seramai 71.71 peratus atau 10,579 pemilih keluar mengundi kali ini.

Pada 8 Mac 2008, peratusan keluar mengundi adalah dalam lingkungan 73 peratus.

Dalam pilihan raya kecil ini yang ke-14 sejak 8 Mac 2008, calon Barisan Nasional Mohd Azahar Ibrahim, 39, bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit ditentang calon PAS, Normala Sudirman, 38, seorang bekas guru.

Beberapa kawasan terutama yang berkedudukan rendah dilanda banjir berikutan hujan lebat turun berterusan sejak beberapa hari lepas.

Proses pengundian hari ini membabitkan 12 pusat iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tenang, SK Pekan Ayer Panas, Dewan Masyarakat Ladang North Labis, Dewan Serbaguna Kampung Paya Merah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kamarul Ariffin, Dewan Bola Keranjang JKKK.

Pusat mengundi lain ialah SK LKTP Tenang, SK Sawah Baru, SMK Tenang Station, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Voules, Sekolah Agama Felda Chempelak dan SK LKTP Chempelak Barat.

DUN Tenang mempunyai seramai 14,753 pengundi berdaftar.

Penjumlahan undi akan dilakukan di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis di sini dan keputusannya dijangka diumumkan pada pukul 8 malam.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Datuk Sulaiman Taha, 59, pada 17 Disember lalu.

Dalam pada itu, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berkata, kerajaan perlu menghantar bekalan bahan makanan ke Labis ekoran banjir yang melanda kawasan itu sekarang.

Beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS kerusi Tenang berkata, hampir seluruh bandar Labis dan sekitarnya kini dinaiki air.

Beberapa jalan utama Labis kini ditenggelami air ekoran hujan lebat dan bot-bot terpaksa dihantar untuk memindahkan mangsa ke tempat yang lebih tinggi.

Tiada ulasan: