SINAR HARIAN
SENAI- “Calon yang bakal bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang bakal beri kejutan,” kata Pesuruhjaya Pas Johor Datuk Dr Mahfodz Mohamed , ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Beliau bagaimanapun meminta semua pihak bersabar dan menantikan calon yang digembar-gemburkan untuk bertanding di kerusi itu.
Ketika ditanya mengenai calon yang terpilih itu, beliau berkata calon berkenaan merupakan seseorang yang dikenali di media massa.
Beliau berkata, pengumuman yang akan dibuat di pekan Labis turut akan dihadiri Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Pas, Datuk Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.
Dr Mahfodz juga enggan mengulas lanjut sama ada calon tersebut adalah wanita atau Ketua Penerangan Pas, Mazlan Aliman yang dikaitkan bagi bertanding di Tenang.
Difahamkan, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan hadir pada hari penamaan calon itu nanti.
Sementara itu, seramai 2,500 jentera petugas Pas telah mula berkampung di Tenang dan mereka juga akan diletakkan di kawasan pembuangan undi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.
“Sejak 8 Januari lepas, petugas-petugas Pas telah berkampung di Tenang dan membantu menggerakkan jentera parti bagi meraih undi,” katanya.
Menurutnya, setiap cawangan daerah dan negeri akan menghantar wakil bagi membantu melaksanakan tugasan seperti mengedar risalah, mengadakan ceramah dan bertemu pengundi dari rumah ke rumah.
“Selain petugas dari negeri Johor, negeri-negeri lain turut membantu seperti Selangor, Kelantan, Terengganu, Melaka dan Negeri Sembilan,” katanya.
Sebanyak 12 Unit Peti Undi (UPU) terdapat di DUN Tenang dengan 200 orang akan di letakkan untuk menjaga setiap kawasan dari segi pengiraan dan keselamatan.
“Jumlah berkenaan kemungkinan besar akan meningkat pada penamaan calon dan tempoh meraih undi selepas itu,” katanya.
Beliau berkata, dengan bilangan petugas yang ramai, jentera parti dapat digerakkan lebih cepat dan setiap kawasan seperti Felda dapat ditembusi.
“Banyak kerja yang perlu dibuat dan bukannya asyik sibuk berceramah sahaja. Justeru lebih ramai petugas diperlukan bagi mendekati pengundi dengan cara ukhuwah,” katanya.
Beliau turut yakin monopoli Barisan Nasional atau UMNO di Felda dapat dipecahkan memandangkan pengundi terutamanya generasi kedua di situ lebih cenderung kepada Pas.
“Berdasarkan kepada pemerhatian dan setiap kali turun ke kawasan Felda seperti di Felda Cemplak, pengundi terutamanya generasi kedua Felda, memberikan respons baik kepada Pas,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan