Ahad, 16 Januari 2011

PAS umum calon DUN Tenang malam ini

MALAYSIA KINI

PAS akan mengumumkan calonnya bagi pilihan raya kecil DUN Tenang di Johor malam ini, kata naib presidennya Salahuddin Ayub.

Katanya, pengumuman tersebut akan dibuat oleh presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang di pekan Labis yang akan disertai ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan penasihat DAP Lim Kit Siang.

"Setakat ini, terdapat dua calon yang dikemukakan kepada kita untuk diputuskan selewat-lewatnya petang ini dan calon tersebut akan diumumkan malam nanti pada jam 8 malam di pekan Labis, Johor," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Salahuddin yang juga ahli parlimen Kubang Kerian tidak menolak kesukaran menentukan siapa calon parti itu yang benar-benar layak dipilih mewakili PAS dalam pilihan raya kecil itu dan mengakui salah seorang calon tersebut ialah wanita.

"Bagaimanapun, pimpinan akan putuskan soal calon itu petang ini," katanya sambil menambah kedua-dua calon itu adalah anak tempatan Tenang.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN itu ditetapkan pada 22 Januari ini dan hari pengundian pada 30 Januari.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha, 59, dari BN pada 17 Disember tahun lepas akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis di Hospital Pakar Ampang Puteri.

Tiada ulasan: