Khamis, 20 Januari 2011

PAS nafi pernah larang wanita tanding pilihan raya

TERKINI


Normala Sudirman

KUALA LUMPUR — PAS tidak pernah melarang wanita daripada bertanding dalam pilihan raya sebagaimana didakwa oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, kata naib presidennya Datuk Mahfuz Omar hari ini.

Kata Mahfuz, PAS sudah banyak kali meletakkan kepercayaan pada kaum wanita dengan menurunkan mereka dalam pilihan raya.

“Khadijah Sidek adalah calon wanita yang pertama, yang kami turunkan pada 1950-an,” kata Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

Khadijah menjadi Ahli Parlimen wanita pertama memenangi kerusi Dungun pada 1959 — pilihan raya umum pertama selepas negara merdeka.

Semalam, Dr Mahathir berkata tindakan PAS meletakkan calon wanita pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Tenang menunjukkan ia tidak berpegang pada janji.

“Dulu PAS kata wanita tak boleh diletakkan sebagai calon tetapi sekarang dia kata boleh pulak,” ujarnya.

PAS memutuskan untuk meletakkan seorang bekas guru, Normala Sudirman untuk menghadapi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Tenang.

Semalam BN mengumumkan Mohd Azhar Ibrahim sebagai calonnya.

Sehubungan itu, Dr. Mahathir berkata, PAS adalah parti yang tidak boleh dipercayai dan tidak berpegang pada janji serta menggunakan Islam untuk kepentingan politik.

Katanya, kalau PAS melihat ada kepentingan kepada sesuatu perkara, mereka akan menggunakan Islam.

Di samping itu, tambah beliau, PAS juga sering menimbulkan kekeliruan dengan menafsir Islam mengikut cara lain yang akan memberi kelebihan kepada mereka.

Sepanjang 14 pilihan raya kecil sejak Mac 2008, ini kali pertama PAS meletakkan calon wanita.

Normala merupakan Exco Dewan Muslimat PAS pusat.

Sebelum itu, Khadijah telah dipilih sebagai ketua sayap Kaum Ibu Umno pada 1954 sebelum dipecat dua tahun kemudian.

Mahfuz yakin bahawa Normala mampu untuk menarik undi-undi kaum wanita.

Seramai 53 peratus pengundi di Tenang merupakan kaum wanita.

“Beliau (Normala) seorang wanita muda yang berani, yang sanggup untuk meletakkan jawatan dalam perkhidmatan untuk berkhidmat kepada rakyat,” kata Mahfuz.

Malah menurut Mahfuz juga menggariskan dasar-dasar PAS yang mesra wanita.

“PAS mendahului isu cuti bersalin di Kelantan, selepas itu baru kerajaan persekutuan ikut,” kata Mahfuz.

Kelantan juga negeri pertama memperkenalkan cuti bersalin 60 hari bagi kakitangan awam selepas memerintah negeri itu sejak 1990.

Pada Mei lalu ia memperkenalkan cuti bersalin 90 hari.

Kata Mahfuz, PAS juga memperkenalkan sistem kerja lima hari di Kelantan bagi membolehkan wanita meluangkan masa bersama dengan keluarga mereka.

“Kami juga telah membuktikan bahawa PAS mengiktiraf peranan wanita dalam politik,” kata Mahfuz.

Tiada ulasan: