Ahad, 16 Januari 2011

Najib: BN mahukan calon boleh menang dalam PRU

BERNAMA


KUCHING — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata beliau akan menunaikan haknya sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) untuk menolak calon-calon yang berpotensi bagi memastikan hanya mereka yang boleh membawa kemenangan menjadi calon dalam pilihan raya akan datang.

Beliau berkata perkara itu akan dibincangkan dengan para pemimpin BN Sarawak bagi mendapatkan konsensus berhubung prinsip calon-calon yang boleh membawa kemenangan terutama di kalangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) memandangkan pilihan raya negeri yang akan datang.

“Ini merupakan satu prinsip yang sangat penting sebab kalau kita meletak calon, itu bererti calon itu mewakili BN dan kita perlu calon itu menang sebab kita nak membentuk kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan konvensyen SUPP bertemakan “Berjuang Untuk Rakyat” di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.

Wujud keperluan untuk memastikan bahawa calon-calon yang dipilih juga diterima rakyat di kawasan pilihan raya kerana ia merupakan satu-satunya cara bagi SUPP untuk kekal relevan dalam usaha menawan semula lapan daripada 19 kerusi yang hilang dalam pilihan raya negeri pada 2006, katanya.

Berdasarkan prinsip itu, beliau berkata semua parti komponen BN di negeri ini perlu menjalankan penilaian bukan dari sudut kedudukan calon dalam parti semata-mata tetapi berfikir lebih mendalam supaya ada opsyen atau pertimbangan yang lain.

Tiada ulasan: