Sabtu, 29 Januari 2011

Kajian: BN boleh kekal kerusi, majoriti 5,000 tak mungkin



Mohd Azahar Ibrahim (tiga dari kanan) mencuba motosikal lama yang dipamerkan di bilik gerakan Kongres India Muslim Malaysia semasa melawatnya pada hari terakhir kempen hari ini. Turut kelihatan ialah Pengerusi Kimma Datuk Syed Ibrahim Kadir (dua dari kiri). — Foto Bernama

KUALA LUMPUR — Kajian umum menunjukkan Barisan Nasional (BN) masih boleh mengekalkan kerusi tradisinya DUN Tenang di Johor esok, tetapi tidak akan mencapai sasaran majoriti 5,000 yang pernah diperoleh calonnya pada 2004.

Laporan kajian firma penyelidikan bebas Ilham Centre menunjukkan, calon BN Mohd Azahar Ibrahim mendahului PAS dengan majoriti sekitar 3,000 undi di mana BN dijangka memperoleh sekitar 6,000 hingga 7,000 undi.

Normala pula dijangka akan mengumpulkan sekitar 4,000 undi.

“Ilham Centre mambuat bacaan berdasarkan dapatan kajian ini bahawa calon BN akan memenangi kerusi Tenang ini menewaskan calon PAS dengan berlaku peningkatan sokongan pengundi dan majoriti berbanding keputusan pilihan raya umum 2008.

“Jentera PAS perlu menampilkan imej gabungan Pakatan Rakyat yang sebenar sebagai gabungan utama berdepan dengan jentera BN jika mahu menang dalam siri pilihan raya akan datang,” kata firma itu dalam hasil kajian yang dikeluarkan hari ini.

Lebih 65 peratus responden yang ditemui menjangkakan BN akan menang berbanding hanya 8.2 peratus meramalkan PAS sementara 23.2 peratus tidak pasti.

Malah 65.2 peratus responden juga berkata mereka akan memilih BN berbanding 13.7 peratus memihak PAS dan 17.5 peratus tidak pasti.

Pilihan raya kecil DUN Tenang merupakan pilihan raya kecil ke-14 sejak Mac 2008 dan yang pertama di Johor.

Kempen selama lapan hari berakhir tengah malam ini.

Keputusan pilihan raya kecil ini tidak akan mengubah kedudukan kerajaan negeri tetapi dilihat penting bagi BN dan Pakatan Rakyat sebagai “kekuatan moral” menjelang pilihan raya umum ke-13.

Firma itu menambah, berdasarkan hasil dapatan silang kaum dengan soalan parti yang dijangka menang, BN mungkin akan memperoleh 73.1 peratus undi Melayu, Cina (48.6 peratus), India (50 peratus) dan kaum-kaum lain (75 peratus).

Kajian itu dikendalikan selama tiga hari mulai 26 Januari lalu untuk melihat perspektif pengundi terhadap parti, calon dan kecenderungan pengundian mereka membabitkan 549 responden.

Kajian itu meliputi 10 daripada 13 daerah mengundi. Rakat kajian yang dilaporkan sekitar 3.11 peratus.

Daripada 549 responden itu 67 peratus adalah orang Melayu, Cina 31 peratus dan masing-masing satu peratus India dan Orang Asli.

Kata Ilham Centre, faktor utama responden memberi undi adalah berasaskan aspek parti berbanding faktor calon dan isu yang dimainkan.

“Faktor parti diwakili 62.5 peratus daripada keseluruhan responden,” katanya.

Seramai 22.4 peratus memilih faktor calon, 10.4 peratus (faktor isu) dan baki 4.8 peratus tidak pasti.

“Jika dilihat kepada kekuatan calon, kedua-dua parti dilihat mempunyai kelebihan masing-masing,” kata hasil kajian itu dengan merujuk kepada hasil kajian bahawa Azahar atau lebih dikenali sebagai “Tok Ai” mendapat 91.4 peratus sokongan responden berbanding Normala atau Cikgu Mala mendapat 79.6 peratus sokongan.

Mengenai isu yang mempengaruhi pengundi, seramai 44.1 peratus memilih isu tempatan berbanding 26.8 peratus merujuk kepada isu nasional dan 24.1 peratus tidak pasti.

Bagaimanapun kata firma itu, isu serangan peribadi ke atas Normala tidak memberi kesan kepada pengundi.

Antara isu serangan terhadap peribadi Normala ialah mengenai pemakaian sarung tangan apabila berjabat tangan dengan pengundi lelaki.

“Ia tidak dilihat sebagai isu yang kuat,” katanya lagi.

“Begitu juga isu lain seperti penyelewengan tanah (yang disasarkan ke atas Azahar), sijil cuti sakit suami Cikgu Mala dan sebagainya tidak cukup untuk mempengaruhi pola pengundian di sini,” kata kajian itu lagi.

Ilham centre juga berkata hasil kajian juga menunjukkan PAS masih gagal menembusi kubu kuat Umno di perkampungan tradisi dan Felda.

Ia menambah, merujuk kepada dapatan kajian juga, jentera PAS di Tenang kali ini cukup agresif dalam siri-siri kempen dan ziarah rumah ke rumah.

Dengan menyasarkan undi wanita dan kakitangan kerajaan terutama nya guru, tema Cikgu Mala dilihat signifikan dalam strategi kempen PAS, kata Ilham Centre sambil menambah, “namun, berdasarkan maklum balas responden di perkampungan tradisi sekitar Kampung Tenang, Pekan Ayer Panas, Kampung Redong, tidak berlaku anjakan ketara paten sokongan di sana.”

Malah katanya, jentera PAS-Pakatan Rakyat juga dilihat belum mempunyai kekuatan untuk mengubah pendirian politik golongan peneroka Felda.

“Namun terdapat sedikit sinar harapan terutama generasi kedua Felda yang mempunyai pendirian politik rasional untuk memilih Pakatan Rakyat,” katanya.

Tiada ulasan: