Sabtu, 22 Januari 2011

DUN Tenang: Penamaan calon pagi ini, ujian penting BN-PKR


LABIS — Pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang — yang keputusannya dijangka bakal membayangkan tarikh pilihan raya umum ke-13 — berlangsung pagi ini.

Ia juga merupakan pilihan raya kecil ke-14 sejak 8 Mac 2008, malah yang pertama di negeri selatan Semenanjung dalam dua dekad ini.

Kali terakhir Johor menyaksikan pilihan raya kecil adalah pada 1989. Pilihan raya kecil Tenang bakal menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) yang akan meletakkan calon masing-masing hari ini.

Kedua-dua perikatan mahu turun gelanggang untuk membawa kemenangan sebagai bekalan semangat menjelang pilihan raya umum kali ini. Bagaimanapun laporan sebelum ini menyebut akan ada seorang calon Bebas mengemukakan borang penamaan calon.

BN akan diwakili Umno manakala Pakatan Rakyat pula PAS. Proses penamaan calon diadakan di pejabat Majlis Daerah Labis di sini.

BN telah mengumumkan bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, Batu Pahat, Mohd Azahar Ibrahim, 39 sebagai calonnya manakala PAS akan diwakili oleh Ketua Muslimat PAS Labis, Normala Sudirman, 39, bekas guru.

Penyokong kedua-dua parti sudah mula memenuhi kawasan pejabat Majlis Daerah Labis sejak pukul 6.30 pagi lagi. DUN Tenang mempunyai 14,735 pemilih berdaftar termasuk 18 pemilih pos.

Daripada jumlah itu, pengundi Melayu terdiri daripada 7,014 orang (47.54 peratus), Cina 5,766 (39.08 peratus), India 1,780 (12.07 peratus), Bumiputera Sabah enam (0.04 peratus), Bumiputera Sarawak lima (0.03 peratus) dan Orang Asli 171 (1.16 peratus).

Mengikut pecahan umur, seramai 3,271 pengundi berusia antara 30 hingga 39 tahun, 3,602 (40-49 tahun), 2,788 (50-59 tahun), 1,897 (60-69 tahun), 1,188 (70-79 tahun), 268 (80-89 tahun) dan lebih 90 tahun pula 70 orang. Seramai 13 pengundi berusia lebih 100 tahun.

Katanya, bagi menjalankan pilihan raya kecil Tenang, SPR akan menggunakan Pejabat Majlis Daerah Labis sebagai pusat penamaan calon manakala Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis akan digunakan sebagai pusat penjumlahan rasmi undi.

Sebanyak sembilan sekolah dan tiga buah dewan akan digunakan sebagai pusat mengundi yang mengandungi kesemuanya 32 saluran tempat mengundi.

Seramai 376 petugas pilihan raya akan dilantik untuk pengendalian proses pilihan raya kecil ini. Pilihan raya kecil DUN Tenang diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Sulaiman Taha dari Umno-BN pada 17 Disember lepas.

Allahyarham Sulaiman mempertahankan kerusi DUN Tenang pada pilihan raya umum ke-12 dengan menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi. Kawasan itu mempunyai tiga penempatan Felda dengan pengundi dianggarkan lebih 3,500 orang.

Tiada ulasan: