Isnin, 10 Januari 2011

Dua mati lemas di Kelantan

BERNAMA

BACHOK— Seorang remaja lelaki dan seorang murid tahun dua, masing-masing di Tumpat dan Bachok, Kelantan, ditemui mati lemas hari ini.

Jurucakap Polis Daerah Tumpat berkata mayat Farid Zulkifli, 17, dijumpai di Sungai Kampung Talak, Chabang Empat, Tumpat, oleh Pasukan Bomba dan Penyelamat Daerah Tumpat kira-kira pukul 4 petang tadi.

Beliau berkata mayat Farid dihantar ke Hospital Kelaboran, Daerah Tumpat, untuk dibedah siasat.

Sementara itu mayat Mohd Haikal Sobri, 8, murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Jelawat, Bachok, pula ditemui kira-kira satu jam setengah selepas dia dilaporkan hilang setelah terjatuh ke dalam Sungai Lubok Kuing, Gunung, dekat sini, pada pukul 5 petang.

Mayat Haikal, yang berasal dari Kampung Tepus, Gunung, dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Baharu, untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Che Malek Omar, berkata kanak-kanak itu terjatuh ketika meniti pembentung air bersama lima rakannya, semasa mereka sedang bermain di sungai yang dilimpahi air banjir itu.

Mohd Haikal adalah anak kelima daripada lapan beradik, dan ketika kejadian bapanya sedang bekerja di Kuala Lumpur.

Beberapa tempat di negeri-negeri pantai timur dilanda banjir dari semasa ke semasa sejak hujung tahun lepas, dan di Kelantan antara bandar yang dinaiki air ialah Bachok, Pasir Puteh, Tanah Merah, Tumpat, Rantau Panjang dan Pasir Mas.

Semalam seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun, Siti Aishah Kamarul Zaman, dijumpai mati lemas di Kampung Limbat, Pasir Tumboh, dekat sini dikatakan selepas bermain air bersama keluarga di rumahnya.

Tiada ulasan: