Selasa, 18 Januari 2011

Dewan Penyokong PAS hantar 200 petugas

N.05 DUN TENANG

KUALA LUMPUR: Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat (DHPP) akan menghantar lebih 200 petugasnya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Tenang.

Menurut Ketuanya, Hu Pang Chaw, petugas ini akan bekerjasama dengan Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat bagi membantu kempen PAS.

“Kami telah memutuskan untuk menghantar 40 orang dari Selangor dan Perak, 20 orang daripada setiap negeri manakala tuan rumah akan menyediakan seramai 200 orang petugas,” katanya kepada Harakah baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, ujarnya, segala arahan dan tindakan telah diselaraskan dengan Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat serta Jawatankuasa Pilihan Raya Kecil Tenang sebagai tuan rumah.

Ditanya mengenai fokus DHPP, Hu berkata, mereka akan memberikan tumpuan kepada masyarakat bukan Islam di kalangan kaum Cina dan India termasuk mereka yang tinggal di kawasan Felda.

“Kita akan memberikan tumpuan yang lebih kepada pengundi di kalangan bangsa Cina dan India bagi mengedarkan risalah penerangan,” ujarnya.

Jelas Hu, risalah tersebut merupakan inisiatif Urusetia Penerangan PAS Kelantan yang dicetak dalam bahasa Cina dan India mengenai isu-isu semasa dan setempat.

“Kita akan menerangkan kepada mereka kenapa orang bukan Islam perlu menyokong PAS serta menjawab segala bentuk tohmahan yang dilemparkan Umno-BN,” katanya lagi.

Hu berkata beliau tidak hairan jika terdapat cubaan untuk menakut-nakutkan bangsa Cina dan India yang dilakukan pihak BN.

“Kita tahu MCA dan MIC cuba meracuni pemikiran orang bukan Melayu apatah lagi mereka yang tinggal di kawasan penempatan Felda,” ujarnya lagi.

Terdahulu, dalam satu kenyataan kepada media MIC yakin mampu menarik lebih daripada 80 peratus sokongan pengundi masyarakat India pada pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Johor kawasan Tenang 30 Januari ini.

Tiada ulasan: