Rabu, 26 Januari 2011

Bendera KEADILAN ‘ghaib’, bendera MCA, MIC selamat

Sidiqin Omar

LABIS: KEADILAN Johor kesal dengan kejadian ‘kehilangan’ bendera KEADILAN, termasuk yang dipasang di bilik gerakan utama KEADILAN bagi Pilihanraya Kecil Dun Tenang, di tengah pekan Labis.

Setiausaha Pengelola Majlis Pimpinan Negeri Johor, Zabidie Abas berkata, kehilangan bendera itu disedari olehnya kira-kira jam 3 pagi tadi.

“Apa yang kita kesal adalah, bendera yang dipasang di premis persendirian, termasuk di bilik gerakan dan rumah ahli, turut ‘dighaibkan’ oleh pihak-pihak yang tidak dikenali.

“Kita tak tahu siapa punya kerja. Boleh jadi SPR (Suruhanjaya Pilihanraya), boleh jadi petugas-petugas Umno dan Barisan Nasional, kita tak tahu.

“Alasan SPR bahawa bendera parti yang tidak bertanding tidak boleh dipasang tidak masuk akal. Jadi, mengapa bendera MCA dan MIC dibenarkan pula?,” soal beliau.

Zabidie turut mendapat maklumat dari petugas Angkatan Muda KEADILAN Johor, bahawa bendera parti yang dipasang di perkampungan orang Asal turut dihilangkan.

“Ini satu perkara yang pelik, kerana ahli kita memang ada di kampung itu,” kata Zabidie, merujuk kepada petempatan orang Asal di Kampung Segamat Kecil.

Sementara itu, Zabidie yang juga merupakan Setiausaha Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan(Anak) memaklumkan, gerak kerja kempen kini giat diteruskan untuk menggempur kawasan Felda dan perkampungan orang Asal.

“Minggu ini, satu Ranting KEADILAN akan ditubuhkan. Jawatankuasanya telah lengkap dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk dirasmikan,” kata Zabidie

Tiada ulasan: