Ahad, 16 Januari 2011

26 pondok polis sepanjang p'raya kecil Tenang

BERNAMA

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menempatkan 26 pondok polis di sekitar kawasan DUN Tenang bagi melancarkan proses pilihan raya kecil DUN berkenaan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata kesemua pondok itu yang ditempatkan di pusat tumpuan orang ramai, dijangka mula beroperasi minggu ini dengan dikendalikan dua anggota polis bagi setiap pondok.

"Kita jangkakan pondok ini akan beroperasi tiga atau empat hari sebelum proses penamaan calon Sabtu depan dan dibuka sehingga selesai proses pilihan raya kecil," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan dan mendengar taklimat persiapan pilihan raya kecil DUN Tenang, di Balai Polis Labis, hari ini.

Ismail berkata selain berfungsi sebagai tempat aduan dan pertanyaaan, orang ramai juga boleh membuat laporan polis di pondok berkenaan.

Dalam tinjauannya hari ini, Ismail berkata beliau berpuas hati dengan persiapan yang dilakukan oleh polis kontinjen Johor bagi menjamin keselamatan semua pihak sepanjang proses pilihan raya berlangsung.

"Dalam mesyuarat, saya tekankan aspek lalu lintas diberi perhatian supaya penamaan calon terutamanya dapat berlangsung dengan lancar," katanya.

Beliau dalam masa yang sama menasihatkan semua pengguna jalan raya terutama pemandu bas dan lori supaya mematuhi peraturan jalan raya bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Penamaan calon bagi pilihan raya kecil DUN Tenang akan diadakan 22 Jan ini manakala pengundian pada 30 Januari.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya, Datuk Sulaiman Taha daripada Barisan Nasional pada 17 Disember lepas akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis.


Tiada ulasan: