Isnin, 13 Disember 2010

WikiLeaks sahkan Singapura terus cemburu Malaysia, kata Ibrahim Ali



KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas Datuk Ibrahim mendakwa pendedahan WikiLeaks mengenai penilaian Singapura tentang iklim politik Malaysia mengesahkan sikap iri hati berterusan republik itu terhadap negara ini.

Pada sidang media pertama selepas kembali daripada cuti sakit selama dua bulan ekoran pembedahan jantung, presiden Perkasa itu berkata, Singapura sudah lama menyimpan dendam terhadap Malaysia.

Justeru katanya, kenyataan pegawai-pegawai kanan Singapura sebenarnya menunjukkan “belang” sebenar republik itu yang berpisah dari Malaysia pada 1965.

“Saya yakin bahawa mereka (Singapura) sebenarnya cemburu dengan Malaysia kerana mereka tidak gembira dalam banyak hal.

“Saya tidak terkejut dengan laporan WikiLeaks mengenai Singapura... mereka yang sebenarnya mengamalkan politik sempit,” kata beliau kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.

Merujuk kepada pendedahan itu, Ibrahim juga mendakwa Singapura mempunyai kepentingan diri untuk menyebabkan keadaan huru-hara di Malaysia.

“Saya merasakan mereka mempunyai agenda sendiri dan mereka mempunyai sekutu-sekutu mereka di Malaysia. DAP sebahagian daripada PAP (Parti Tindakan Rakyat) Singapura,” katanya lagi.

“Mereka hanya mahu menyebabkan keadaan huru-hara di Malaysia sebab mereka tidak berpuas hati dengan pencapaian-pencapaian Malaysia,” kata Ibrahim.

Mengenai pendedahan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ibrahim berkata beliau sama sekali tidak terkejut dengan pendedahan itu.

“Apa yang perlu kejut? Ini satu isu yang sudah lama dibincangkan, sejak zaman Tun Dr Mahathir (Mohamad) menjadi perdana menteri.

“Jika Anwar menyangkal fakta, beliau sepatutnya menyaman WikiLeaks, lebih-lebih lagi beliau suka menyaman orang.

“Apa yang menghairankan ialah Nik Aziz, Hadi bertindak seperti mereka tidak terkejut dengan pendedahan,” kata beliau yang bertanding pada pilihan raya umum ke-13 atas tiket PAS.

Semalam, Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berharap risikan teknikal yang disebut dalam WikiLeaks, menyentuh kes liwat melibatkan Anwar, penasihatnya, dapat didedahkan pada umum memandangkan ia menjadi sandaran Singapura dalam membuat kesimpulan mereka.

Kata beliau, pendedahan WikiLeaks bahawa fitnah liwat terhadap Anwar merupakan satu rekayasa polis Cawangan Khas Malaysia tidak boleh dipandang enteng dan mengesahkan kenyataan bahawa ia adalah satu konspirasi peringkat tertinggi.

“Lebih memeranjatkan menurut pendedahan WikiLeaks, pimpinan tertinggi Singapura dan agensi perisikan negara itu sengaja serta dengan bersahaja mengeyakan fitnah tersebut kepada agensi perisikan Australia, Office of National Assessment (ONA),” kata beliau dalam satu kenyataan.

Menurut laporan The Sun-Herald kelmarin, pendedahan kabel Jabatan Negara Amerika Syarikat menunujukkan pegawai-pegawai risikan Singapura memberitahu rakan sejawatan mereka dari Australia bahawa Anwar terlibat dalam perbuatan yang dikenakan tuduhan itu - tindakan yang beliau menafikan sama sekali.

“Jabatan Risikan Kebangsaan Australia juga mengatakan bahawa kelakuakn itu adalah akibat perangkap oleh musuh-musuh Dr Anwar,” lapor akhbar itu, yang merupakan sebahagian daripada produk kumpulan Sydney Morning Herald.

Laman web WikiLeaks telah menyiarkan sekitar 250,000 kabel diplomatik dari Amerika Syarikat, pendedahan mengenai pandangan dan ulasan yang amat mengejutkan, melibatkan pelbagai negara dan banyak pemimpin dan ketua kerajaan. Sekitar 1,000 kabel pula berkaitan dengan Malaysia termasuk sebahagiannya mengenai keengganan Putrajaya bekerjasama dengan beberapa pihak utama dunia.

WikiLeaks diasaskan oleh wartawan Australia Julian Assange, yang sekarang ditahan Scotland Yard berhubung dakwaan kes seksual yang dibawa oleh Sweden.

Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 25, di Unit 11-5-1 Desa Damansara Condominium di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Kes itu sedang didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan akan disambung bulan depan.

Tuduhan kali pertama dikenakan sedekad yang lalu, selepas beliau dipecat sebagai timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno.

Anwar, yang mengetuai Pakatan Rakyat belum lagi mengulas pendedahan terbaru oleh akhbar Australia ini.

Menurut akhbar itu, kabel melibatkan kedudukan Anwar merupakan salah satu daripada beberapa kandungan yang mendedahkan pandangan mengejutkan pegawai-pegawai kanan Singapura termasuk dakwaan bahawa “Malaysia berada dalam keadaan terkeliru dan bahasa ekoran ahli-ahli politik yang tidak kompeten.”

Kabel mengenai kes liwat Anwar ini bertarikh November 2008 iaitu lima bulan selepas kes liwatnya terdedah dan disiasat polis.

Ia menyebut, “Australia mengatakan bahawa perkhidmatan risikan Singapura dan (pemimpin kanan Singapura) Lee Kuan Yew memberitahu ONA dalam pertukaran pandangan bahawa pemimpin pembangkang Anwar sememangnya melakukan perbuatan itu, yang beliau didakwa sekarang.”

Dokumen itu juga mengatakan bahawa Singapura memberitahu ONA yang mereka membuat penilaian itu berasaskan risikan teknikal, yang mana kemungkinan dikaitkan dengan komunikasi yang dipintas, kata akhbar itu.

“ONA membuat penilaian, dan rakan-rakan sejawatan mereka dari Singapura bersetuju, ia adalah (satu) kerja (dia) diperangkap dan kemungkinan dia tahu mengenainya, tetapi bagaimanapun dia terlibat,” kata kabel itu.

Tiada ulasan: