Khamis, 23 Disember 2010

SPNB cadang hapuskan wang tahanan

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB)bercadang menghapuskan serta merta wang tahanan RM2,500 yang dikenakan ke atas kontraktor yang membina Projek Rumah Mesra Rakyat (RMR) bermula projek yang akan datang.

Pengerusi SPNB, Datuk Ir Idris Haron berkata langkah itu akan membantu kontraktor mendapatkan julat keuntungan yang lebih banyak.

“Projek kita melibatkan kos yang kecil, iaitu lebih kurang RM70,000 sahaja dan wang tahanan ini hanya akan menjejaskan julat keuntungan mereka… sudahlah keuntungan mereka kecil saja,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Inden Kerja Kontraktor Program RMR di sini hari ini.

“Dengan keadaan industri pembinaan yang begitu mendesak, keuntungan mereka hanyalah dalam lingkungan RM5,000 ke RM10,000 sahaja. Jadi dengan adanya wang tahanan, keuntungan mereka akan berkurangan dan ini sekaligus akan menjejaskan kualiti pembinaan,” katanya.

Wang tahanan adalah sejumlah wang yang ditahan oleh SPNB dari bayaran kemajuan kerja kontraktor, yang bertujuan melindungi mutu kerja dari sebarang kecacatan.

Ia akan ditahan sehingga selesai tempoh jaminan kecacatan tamat, iaitu selama satu tahun selepas projek siap.

Selain itu, mengenai penyerahan inden kerja kontraktor, Idris berkata ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk menampung keperluan rumah untuk rakyat, lebih-lebih lagi kepada mereka yang berpendapatan rendah.

Di majlis itu, 203 kontraktor Bumiputera telah dianugerahi Inden kerja bagi Projek RMR di Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Johor.

Kini, SPNB sedang membina dan memproses perjanjian pembinaan 2,954 unit rumah yang dijangka siap tidak lama lagi.

“Setakat ini, SPNB telah menerima 43,859 permohonan di seluruh negara untuk projek RMR dan daripada jumlah itu, 17,971 permohonan dengan peruntukan RM1.1 bilion telah diluluskan,” katanya.

SPNB telah menyerahkan 15,017 unit RMR di seluruh negara dengan nilai projek RM840 juta sejak 10 tahun lepas.


Tiada ulasan: