Khamis, 16 Disember 2010

Selangor kekal destinasi utama pelaburan Jan-Sept 2010

FREE MALAYSIA TODAY

khalidSHAH ALAM: Selangor kekal sebagai destinasi utama pelaburan apabila sebanyak RM6.53 bilion diluluskan di antara bulan Januari hingga September tahun ini.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, dari jumlah itu sebanyak RM2.76 bilion atau 42% adalah pelaburan tempatan manakala sebanyak RM3.78 bilion atau 58% merupakan pelaburan asing.

"Jumlah pelaburan yang memberangsangkan ini melibatkan sebanyak 245 projek yang telah diluluskan dan mewujudkan 16,966 peluang pekerjaan," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, sebanyak 154 projek ini atau 38% adalah projek baru dengan nilai pelaburan melebihi RM2.52 bilion. Sementara 91 projek atau 62% merupakan projek pembesaran dan pelbagaian dengan nilai pelaburan melebihi RM4.01 bilion.

Katanya, dengan jumlah pelaburan ini, Selangor mendahului negeri lain di Malaysia dan telah menyumbang sebanyak 31% dari jumlah keseluruhan pelaburan negara diikuti Johor dan Pulau Pinang.

Pelabur Jepun merupakan penyumbang terbesar dengan pelaburan melebihi RM1.89 bilion diikuti Cayman Islands dengan RM531.6 juta dan Singapura melebihi RM393.66 juta. Bagaimanapun, dari segi bilangan projek, Singapura mencatatkan jumlah tertinggi dengan 19 projek.

Khalid berkata, jumlah pelaburan sepanjang tempoh Januari hingga September 2010 ini melebihi nilai pelaburan yang dicatatkan dalam tempoh yang sama pada 2009.

"Pada 2009, Negeri selangor berjaya memperoleh 138 projek dengan nilai pelaburan sebanyak RM2.72 bilion dan menyediakan 11,059 peluang pekerjaan," tambahnya.

Keyakinan para pelabur

Ujar beliau, "peningkatan jumlah pelaburan ini membuktikan keyakinan para pelabur terhadap Negeri Selangor sebagai destinasi pelaburan yang utama di Malaysia."

"Kerajaan Negeri katanya, akan terus mengambil langkah pro-aktif dengan meningkatkan kemudahan infrastruktur di kawasan-kawasan perindustrian sedia ada.

Menurutnya, anak syarikat Kerajaan Negeri, SSIC Berhad (Selangor State Investment Centre ) juga sering mengadakan pertemuan-pertemuan dengan para pelabur bagi berbincang secara terus berhubung isu dan masalah yang dihadapi oleh para pelabur untuk diselesaikan segera.

"Kerajaan Negeri akan terus mempergiatkan lagi usaha mempromosi Selangor sebagai negeri perindustrian dan pelaburan dalam memastikan sektor ini terus berkembang dan menjadi penyumbang utama kepada pencapaian ekonomi negeri seterusnya berjaya mencapai prestasi pelaburan yang disasarkan," katanya.

Tiada ulasan: