Selasa, 14 Disember 2010

Perkasa cadang suruhanjaya diraja pantau ekuiti Bumiputera

BERNAMA


Ibrahim menyaran agar Muzium Pahlawan Melayu dan Kesultanan Melayu diwujudkan. — gambar fail

KUALA LUMPUR — Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini mencadangkan satu suruhanjaya diraja atau sebuah jawatankuasa pemandu ditubuh bagi memantau pencapaian ekuiti Bumiputera.

Presidennya Datuk Ibrahim Ali berkata badan itu penting bagi memastikan ekuiti 30 peratus penyertaan Bumiputera dalam bidang ekonomi dicapai dalam usaha negara menjadi negara maju pada 2020.

Badan itu juga perlu bertanggungjawab memberi nasihat kepada Majlis Raja-Raja Melayu berhubung hal-hal berkaitan dengan ekonomi Bumiputera, katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Hari ini merupakan hari pertama anggota Parlimen Pasir Mas itu hadir pada persidangan Dewan Rakyat setelah bercuti sejak 18 Oktober lepas kerana menjalani pembedahan jantung di Hospital Pakar Ampang Puteri di sini.

Selain cadangan itu, beliau juga menyarankan supaya Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan mewujudkan Muzium Pahlawan Melayu dan Kesultanan Melayu yang dapat dijadikan sumber pendidikan kepada generasi muda serta sebagai produk pelancongan.

Tiada ulasan: