Khamis, 16 Disember 2010

Pegawai PP dapat RM1,300, Pusat hanya RM500

FREE MALAYSIA TODAY

lgmIPOH: Pakatan Rakyat Perak menyokong penuh usaha Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berulangkali memberi bonus kepada kakitangan kerajaan negeri Pulau Pinang.

Terkini melibatkan semua 1,376 guru kelas agama fardhu ain (KAFA) di Pulau Pinang akan menikmati pembayaran khas RM100 sempena Maal Hijrah bermula minggu ini.

“Pemberian elaun tambahan dari kerajaan negeri ini merupakan insentif galakan yang bakal memacu lagi moral kerja bermutu di kalangan kakitangan kerajaan negeri Pulau Pinang,” kata Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Drs. Khalil Idham Lim ketika ditemui
di sini.

Tambahnya lagi, seluruh kakitangan kerajaan negeri Pulau Pinang yang melibatkan beberapa jabatan menikmati tambahan pendapatan mereka. Ini adalah hasil dari keputusan bijak rakyat negeri Pulau Pinang yang memilih pemimpin mereka dengan betul, syabas beliau ucapkan.

Sebelum ini bantuan khas sekolah sebanyak RM800 kepada setiap 7,812 anggota perkhidmatan awam negeri Pulau Pinang telah pun dibayar pada 1 Disember lalu, kata beliau lagi.

"Kerajaan pusat hanya membayar RM500 kepada penjawat awam di peringkat persekutuan, katanya.

“Dengan pembayaran RM500 duit raya sebelum ini dan RM800 bantuan khas sekolah sekarang, ini bermakna bahawa semua anggota pentadbiran awam negeri Pulau Pinang telah menerima RM1,300 secara keseluruhannya pada tahun ini.

“Kerajaan Persekutuan telah memutuskan bahawa pemberian RM500 diberikan kepada mereka yang memegang jawatan D54 ke bawah, tetapi negeri Pulau Pinang berikan kepada semua peringkat.

Kakitangan bermotivasi

“Tindakan ini dikira suatu yang amat wajar, kerajaan yang mempunyai kakitangan yang bermotivasi akan memberi impak positif terhadap mutu kerja untuk memenuhi keperluan serta tuntutan seluruh rakyat negeri Pulau Pinang," katanya.

Menurutnya lagi yang juga Ketua Penerangan PAS Perak, Kerajaan Pusat sepatutnya mencontohi tindakan kerajaan Pulau Pinang dalam soal menjaga kebajikan seluruh kakitangannya, ini adalah suatu tindakan yang amat wajar, malangnya, rakyat terus dibebankan dengan kenaikan harga barang.

“Saya menyarankan agar negeri-negeri lain di seluruh Malaysia, khususnya negeri lain di bawah Pakatan Rakyat turut mengikut jejak Ketua Menteri Pulau Pinang yang memberi berbagai bantuan kepada kakitangannya, ” katanya.

“Nampaknya Kerajaan Negeri Pulau Pinang dibawah kepimpinan Lim Guan Eng lebih efisyen daripada Kerajaan Persekutuan dalam soal menjaga kebajikan kakitangan, rakyat sepatutnya memilih Pakatan Rakyat pada PRU 13 nanti kerana BN gagal setelah setengah abad memerintah," ujarnya.

Tiada ulasan: