Isnin, 13 Disember 2010

Misi tahun ini terlaksana

SINAR HARIAN ONLINE

SHAH ALAM – Misi untuk membantu rakyat Selangor untuk meningkatkan taraf hidup sedang diusahakan dan hasilnya adalah positif.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan,Teresa Kok berkata, ianya meliputi usaha menarik pelaburan ke negeri Selangor.

Menurutnya, melalui usaha menarik pelabur ini telah banyak memberikan manfaat terutamanya membuka peluang pekerjaan yang lebih luas.

“Kita telah mengenal pasti beberapa pelabur dari China dan Korea dan kita akan terus berhubung dengan mereka untuk memastikan mereka melabur dengan kita.

“Jumlah pelaburan pada tahun ini adalah memberangsangkan berikutan ekonomi dunia yang semakin baik,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Ditanya mengenai misi untuk tahun depan, beliau akan memfokuskan kepada Pilihan Raya Umum ke-13.

“Kita akan berusaha untuk memastikan kerusi yang dimenangi pilihan raya lalu dikekalkan.

“Jika kita memenangi PRU tahun depan, itu merupakan pencapaian yang terbesar,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata beliau berusaha menaik taraf infrastruktur Kampung Baru.

Menurutnya, peruntukan 5.4 juta akan digunakan sebaiknya untuk membaiki kemudahan itu termasuk pembaikan jalan, saliran longkang serta pembinaan jambatan.

“Projek masih dalam proses pelaksanaan dan akan diteruskan secara bersepadu supaya rakyat mendapat kemudahan yang sewajarnya.

“Kerajaan terdahulu gagal menjalankan tanggungjawab dan tidak mengambil berat masalah rakyat,” katanya.

Katanya, beliau juga telah berjaya membantu menyelesaikan masalah penduduk yang tinggal lebih 60 tahun berkaitan hak milik tanah di Kampung Baru.

“Setakat ini, kita berjaya membantu lebih 400 keluarga yang membuat permohonan hak pemilikan tanah.

“Usaha akan diteruskan termasuk membantu mereka membuat permohonan,” katanya.

Katanya, untuk strategi tahun hadapan, beliau fokus untuk melaksanakan projek kecil seperti infrastruktur dan kempen membaca.

“Kempen membaca akan diteruskan berikutan sambutan yang menggalakkan. Harapan kita agar minat membaca dapat dipupuk dan menarik minat untuk belajar.

“Fokus kita adalah masyarakat luar bandar. Setakat ini lebih 13 buah kampung telah mengikuti kempen ini antaranya Kampung Bagan, Sekinchan dan Kampung Baru, Seri Kembangan,” katanya.

Tiada ulasan: