Ahad, 26 Disember 2010

Mangsa banjir di Kedah, Perlis buat tuntutan palsu: Johari Baharom

BERNAMA

JITRA: Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Wira Mohd Johari Baharom, berkata terdapat segelintir petani dan mangsa banjir di Kedah dan Perlis yang membuat tuntutan palsu bagi kerugian yang mereka alami semasa bencana banjir bulan lalu.

Beliau berkata, misalnya terdapat petani membuat tuntutan kerugian ke atas sawah mereka yang dikatakan rosak, padahal mereka tidak terjejas langsung.

"Selain tuntutan palsu, terdapat ramai mangsa banjir membuat tuntutan bertindih iaitu mendaftar lebih dari sekali serta seluruh ahli keluarga mereka turut mendaftar.

"Malangnya terdapat ketua-ketua unit Pertubuhan Peladang Kawasan yang mengesahkan tuntutan petani yang meragukan atau palsu," katanya ketika bergotong-royong mengecat semula Masjid Kampung Telok Malek bersama ahli Kelab Proton Shah Alam dekat sini, hari ini.

Masjid tersebut tenggelam ketika banjir.

Mohd Johari berkata, di dalam borang tuntutan telah dijelaskan bahawa maklumat palsu yang diberikan boleh dikaitkan dengan kesalahan di bawah akta rasuah.

"Saya menyerahkan perkara ini kepada agensi berkaitan sama ada hendak mengambil tindakan atau tidak terhadap mereka yang membuat tuntutan palsu," katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Pasu.

Beliau juga berkata, bancian terhadap tanaman dan ternakan yang musnah atau mati di dalam banjir dijangka selesai pertengahan bulan depan.

Katanya, kerajaan akan memberi pampasan dalam bentuk input pertanian seperti baja, racun, benih dan haiwan ternakan.

Tiada ulasan: