Joseph Sipalan
Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali kembali ke Parlimen selepas selama sebulan berihat dan mengambil kesempatan itu untuk "membuktikan" bahawa beliau masih 'garang' untuk kembali ke gelanggang politik tanahair.
Sambil membidas penulis blog dan penyebar khabar angin kononnya
beliau sedang koma dan tenat, ahli parlimen Pasir Mas itu berkata sudah waktunya baginya menyangkal desas-desus mengenai kesihatannya.
Oleh itu, katanya, beliau hadir di Parlimen untuk membuktikan yang beliau sudah sihat, walaupun doktornya menasihatkan beliau berihat tiga bulan lagi.
Hari ini adalah kali pertama Ibrahim kembali mengikuti sidang Parlimen selepas menjalani pembedahan pintasan jantung Oktober lalu.
Bercakap dalam satu sidang akhbar di lobi Parlimen, Ibrahim sambil berseloroh berkata, beliau kasihan dengan mereka mengharapkan beliau meninggal dunia atau berada dalam koma.
Menurut Ibrahim lagi, beliau tidak duduk diam selama cuti sakit, sambil menyatakan beberapa rancangan yang beliau dan PERKASA akan lakukan dalam masa terdekat ini.
Katanya, adalah aneh Malaysia tidak mempunyai muzium untuk memperingati pahlawan negara dan sultan, dan lebih penting lagi insiden seperti Rusuhan 13 Mei.
Beliau mengambil contoh 'Museum Holocaust' di Jerman, yang menurutnya menggambarkan banyak kejahatan yang dilakukan pemimpin Nazi, Adolf Hitler dalam Perang Dunia II.
"Kita perlu mewujudkan muzium 13 Mei. Lihatlah ia secara positif.
"Kita perlu menceritakan kisah sebenar supaya generasi muda dapat mengetahui siapa yang memulakan semuanya, siapa yang membakar bendera Malaysia pada 10 Mei, siapa yang mencetuskan rusuhan," katanya.
Ibrahim juga mencadangkan Majlis Raja-Raja mengambil langkah proaktif dan menubuhkan suruhanjaya diraja untuk memantau kemajuan kerajaan dalam mempromosikan penyertaan bumiputera dalam ekonomi negara.
Menurutnya, majlis tersebut perlu berbuat lebih banyak lagi untuk menggalakkan agenda bumiputera, selaras dengan dengan matlamat negara untuk menjadi negara maju pada 2020.
Ibrahim berkata, PERKASA akan menghantar memorandum dan surat kepada Majlis Raja-Raja, meminta supaya ditubuhkan sebuah suruhanjaya diraja, atau sekurang-kurangnya sebuah jawatankuasa pemandu.
Langkah itu, tegasnya, akan dapat memastikan pencapaian 30 peratus penyertaan menyeluruh bumiputera dalam ekonomi apabila negara mencapai status negara maju.
Ibrahim mengakui bahawa kerajaan telah membuktikan komitmennya dengan menubuhkan sebuah jawatankuasa ekonomi bumiputera yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak.
Namun, tegasnya lagi, sebuah badan bebas masih diperlukan untuk memantau kemajuannya.
14 ulasan:
Ibrahim Ali dah kembali, ia akan memanaskan semula politik tanah air.
nampaknya Ibrahim Ali kembali. diharapkan selepas ini beliau tidak pula menimbulkan pelbagai isu yang panas.
Saya mendengar bahawa ada yang mahukan status Ibrahim Ali sebagai MP digantung selama 6 bulan.
Saya tidak begitu mengalu-alukan Ibrahim Ali balik ke gelanggang politik.
Ini sememangnya satu berita yang buruk.
"Kita perlu menceritakan kisah sebenar supaya generasi muda dapat mengetahui siapa yang memulakan semuanya, siapa yang membakar bendera Malaysia pada 10 Mei, siapa yang mencetuskan rusuhan,"
apa niat Ibrahim Ali sebenarnya?? keluar dari hospital terus menimbulkan isu perkauman. adakah tujuan Ibrahim supaya generasi muda membenci satu2 kaum yang telah mencetuskan tragedi 13 mei??
saya harap Ibrahim Ali bersara dari politik kerana banyak kenyataan beliau yang boleh merenggangkan perpaduan di Malaysia serta memberikan advantage kepada pembangkang untuk menyerang kerajaan.
Sebaiknya lebih baik beliau berehat daripada turun dengan keadaan yang kurang sihat.
Tapi lebih baik kamu mengambil nasihat doktor agar tidak ada implikasi jantung.. Negara tidak memerlukan sangat kehadiran anda.
Sebaiknya, bawa2 lah juga berehat. Jaga kesihatan diri sendiri..
Tapi kalau mahu kembali juga, na kembali ja la bah.. hehe
Jika diberikan masa untuk rehat, kena berehat...tidak perlu untuk menjadi hero kerana kita ini manusia, kesihatan adalah penting.
Saya tidak dapat mempercayainya. Harap beliau tidak akan menmbuat kacau lagi.
Catat Ulasan