Sabtu, 18 Disember 2010

Bapa ke tali gantung kerana bunuh anak kandung

BERNAMA

SHAH ALAM — Seorang buruh dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah membunuh anak kandung, yang mayatnya disumbat di dalam sebuah beg pakaian sebelum dihanyutkan ke sebatang sungai, tiga tahun lepas.

Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki memutuskan demikian selepas berpuas hati bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

M. Murthy, 32, didakwa membunuh M. Ruthren, berusia dua tahun Sembilan bulan, di rumah Lot 848, Jalan Kapar, Sungai Klang, Klang dekat sini pada pukul 4.15 petang, 20 Jan 2007.

Tertuduh dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Media sebelum ini melaporkan beg itu ditemui sekumpulan nelayan di perairan Selat Melaka berhampiran Pulau Sembilan, Teluk Intan, Perak.

Berdasarkan laporan bedah siasat, mangsa mengalami patah tulang termasuk tulang hidung dan lebam di beberapa bahagian badan.

Mohtarudin berkata tertuduh dalam pembelaannya berkata mangsa telah jatuh di kolah air dan mengalami sawan sehingga membawa kepada kematiannya.

Bagaimanapun, kata beliau perkara itu tidak dibangkitkan langsung oleh pihak pembelaan ketika di peringkat pendakwaan.

“Sebagai bapa yang bertanggungjawab seperti kata tertuduh, dia seharusnya bawa mangsa ke hospital tetapi tertuduh memilih untuk pergi ke ruang tamu untuk hisap rokok dan tertuduh tidak tunjuk sikap cemas langsung.

“Pembelaan juga menyatakan bahawa saksi ke-13 pendakwaan (isteri tertuduh) adalah rakan jenayah tetapi saya tolak kerana jelas tertuduh telah mengugut saksi itu jika beritahu kepada orang lain (tentang perbuatan tertuduh), tertuduh akan membunuh beliau dan anak-anak mereka yang lain,” katanya.

Mohtarudin berkata keterangan pegawai perubatan menunjukkan bahawa walaupun punca kematian mangsa tidak dapat dipastikan dengan jelas, fakta menunjukkan apabila mayat mangsa dimasukkan ke dalam beg pakaian yang kecil, tulang hidungnya patah serta terdapat kesan lebam pada punggungnya dan ini menunjukkan mangsa dipukul dengan objek keras seperti kayu.

“Pakar DNA juga mengesahkan bahawa mangsa adalah anak kandung tertuduh dan isterinya. Saya juga bersetuju pembelaan tertuduh adalah difikirkan kemudian kerana ingin menyelamatkan dirinya. Justeru, saya dapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan dan saya tiada pilihan lain melainkan menjatuhkan hukuman mati ke atas tertuduh,” katanya.

Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Rosida Abu Bakar memanggil seramai 20 saksi memberi keterangan sementara pembelaan yang diwakili peguam K. Vikneswaran mengemukakan seorang saksi.

Kes itu, yang pertama kali disebut di Mahkamah Majistret Klang pada 22 Feb 2007, telah didengar di hadapan tiga orang hakim sebelum ini. Perbicaraan hanya bermula pada 15 Mac lepas selepas Mohtarudin mengambil alih kes itu.

Tiada ulasan: