Selasa, 9 November 2010

Umno kata Zaid kecewa PKR, Zul Noordin dakwa ada MP bakal keluar

THE MALAYSIAN INSIDER



Hishammuddin berkata tindakan Zaid hari ini tidak mengejutkan. — gambar fail

KUALA LUMPUR — Pemimpin Umno mendakwa Datuk Zaid Ibrahim mengambil keputusan melepaskan kesemua jawatan dalam PKR dan menarik diri daripada bertanding kerana kecewa dengan komponen Pakatan Rakyat itu manakala Ahli Parlimen Bebas Zulkifli Noordin pula berkata akan ada wakil rakyat bakal keluar parti itu waktu terdekat.

Ahli Parlimen Bebas Kulim-Bandar Baharu Zulkifli mendakwa beliau meramalkan akan ada gelombang baru pemimpin-pemimpin PKR akan meninggalkan parti tersebut ekoran keputusan Zaid hari ini.

Ekoran perkembangan terbaru itu, kata Zulkifli, beliau sebenarnya tidak terkejut dengan dakwaan membeli undi dan penyelewengan dalam proses pemilihan PKR.

Sehubungan itu kata beliau, tindakan Zaid akan mencetuskan respons yang sama di kalangan pemimpin PKR yang tidak berpuas hati, yang akan mengikut langkah bekas menteri itu meninggalkan parti kelak.

“Saya tidak terkejut jika ada pemimpin-pemimpin kanan dalam PKR yang akan mengekori langkah Zaid. Akan ada satu atau dua Ahli Parlimen yang akan meninggalkan PKR dalam waktu terdekat, dan akan membuat keputusan menjadi wakil rakyat Bebas,” kata Zulkifli.

“Zaid akhirnya sudah nampak kebenaran dan kenyataan beliau (mengenai proses pemilihan) membuktikan apa yang dikatakan oleh Konsensus Bebas selama ini.

“Parti itu hanya bersedia untuk membawa (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) ke Putrajaya. Dalam konteks ini, kita perlu faham bahawa Anwar perlu memastikan dia berjaya, dan orang-orangnya akan melakukan apa sahaja, dalam apa jua kos untuk merealisasikan impian itu,” kata Zulkifli kepada pemberita di lobi Parlimen.

Dalam pada itu, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Naib Presiden Umno berkata, tindakan Zaid menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presien PKR dan melepaskan kesemua jawatannya dalam parti itu kerana beliau kecewa terhadap PKR.

Katanya, beliau tidak terkejut dengan tindakan Zaid itu yang menggambarkan beliau baru sedar bahawa demokrasi yang sebenarnya tidak dapat dilaksanakan dalam PKR.

Malah tuduhan yang dilemparkan terhadap Umno sebelum ini bahawa Umno tidak telus dan bersifat rasis kini terkena kepada parti itu sendiri, kata Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri.

“Mungkin itu menjadi pertimbangan Datuk Zaid kerana kecewa dengan perkara yang sebelum ini dilaung-laungkan lebih hebat daripada Umno tetapi dalam pelaksanaannya jelas tidak sampai pada tahap yang dijanjikan, bukan saja orang ramai, tetapi yang paling pentingnya kepada ahli-ahli parti itu sendiri.

“Tengoklah calon-calon yang bertanding ada ke kaum-kaum lain? Tengok dalam konteks demokrasi, calon-calon tu ada kaitan tak dengan penasihat PKR (Datuk Seri Anwar Ibrahim)?,” katanya kepada pemberita di ruang legar Parlimen di sini hari ini.

Zaid mengumumkan keputusannya untuk menarik diri daripada bertanding jawatan timbalan presiden PKR serta melepaskan semua jawatannya dalam parti itu kerana mendakwa wujud salah guna kuasa dan penipuan dalam pemilihan parti tersebut.

Tiada ulasan: