Rabu, 10 November 2010

Poligami: Jais siasat satu lagi kes pasangan profil tinggi

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Selepas pasangan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin dan pelakon, Zizie Izette A. Samad, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kini menyiasat kes pasangan berprofil tinggi yang berpoligami tanpa kebenaran.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan, Jasi berkata pasangan tersebut turut melakukan kesalahan yang lebih besar apabila dipercayai menggunakan khidmat sindiket jurunikah yang tidak bertauliah di Daerah Gombak.

“Pasangan berkenaan berbuat demikian kerana dipercayai mahu mengambil jalan mudah untuk bernikah segera pada tarikh yang menjadi idaman ramai iaitu 10 Oktober tahun ini,” kata Jais.

Kes tersebut membabitkan seorang pegawai biro aduan komuniti bagi sayap pergerakan sebuah parti politik, berusia 32 tahun dan sudah beristeri.

“Pasangannya pula ialah seorang wartawan bahagian berita sebuah stesen televisyen swasta berusia 25 tahun,” jelas kenyataan tersebut dipetik Utusan Malaysia hari ini.

Selain menggunakan khidmat sindiket jurunikah tidak bertauliah, pernikahan pasangan tersebut juga didapati tidak sah kerana wartawan wanita berkenaan tidak memaklum atau mendapatkan izin wali yang sah.

Selain itu katanya, sijil nikah yang dikeluarkan oleh sindiket tersebut kepada pasangan itu juga cuma merupakan sekeping kertas kajang bertulisan jawi.

“Menurut sumber Jais, wartawan wanita berkenaan telah membuat laporan pernikahan itu di Pejabat Agama Islam Daerah Gombak Timur baru-baru ini tetapi pasangannya belum berbuat demikian.

“Pasangan tersebut dan jurunikah tidak bertauliah yang telah menikahkan mereka, boleh didakwa di mahkamah syariah mengikut Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.

“Kes tersebut dijangka mendapat perhatian umum kerana pasangan lelaki adalah pegawai dari sebuah parti politik, yang pernah terlibat dalam urusan membawa pulang semula wanita Malaysia yang dilarikan lelaki Lombok,” jelas kenyataan itu.

Difahamkan, wartawan wanita tersebut adalah seorang anak yatim piatu mualaf (saudara baru) yang tidak begitu arif tentang hukum-hakam Islam, termasuk dalam soal rukun nikah dan Undang-Undang Keluarga Islam.

Pada Ogos lalu, Bung Moktar berjaya mengetepikan hukuman penjara sebulan yang dikenakan terhadapnya pada Mei lepas bagi kesalahan berpoligami tanpa kebenaran selepas Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam menerima rayuannya.

Ketua Hakim Syarie Selangor Mukhyuddin Ibrahim memutuskan sedemikian selepas menerima rayuan ahli politik dari Sabah itu tetapi memerintahkan Bung Moktar membayar denda RM1,000, dan jika gagal berbuat demikian, akan dikenakan penjara enam bulan.

Pada 19 Mei lepas, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur menjatuhkan hukuman penjara sebulan selepas Bung Moktar mengaku berpoligami tanpa kebenaran mahkamah, dengan Zizie Izette, 31, di rumah No 12, Jalan TC2B/3 Cemerlang Heights, Taman Melati, Gombak pada 8.50 malam, 16 Disember lalu.

Bung Moktar memfailkan rayuan itu di sini pada 25 Mei lepas dan memohon supaya hukuman terhadapnya diringankan kepada hukuman denda.

Tiada ulasan: