Rabu, 17 November 2010

ETP Hanya Strategi Umno-BN Untuk Terus Bohongi Rakyat

Oleh Suara Keadilan

azan15KUALA LUMPUR - Kerajaan Umno-Barisan Nasional dilihat sengaja tidak mahu rakyat memahami tentang Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang dicanang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana takut tembelang akan terbongkar jika maklumat sebenar didedahkan.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata rakyat terutamanya ahli Umno sendiri tidak faham apakah itu ETP dan sekiranya mereka benar-benar memahaminya sudah tentunya akan membangkitkan kemarahan mereka.

"Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor berkata ahli Umno marah kerana dalam ETP tidak ada jaminan kepada kedudukan orang Melayu dan Bumiputera.

"Saya jangka semakin rakyat faham mengenai implikasi ETP, semakin ramai yang akan menolaknya," kata beliau.

Tambah beliau, untuk mencapai objektif "Negara Berpendapatan Tinggi" menjelang tahun 2015, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mesti tetap pada kadar 6 peratus setahun tetapi laporan Bank Dunia minggu lalu menyatakan kadar pertumbuhan ekonomi negara tahun 2010 hanyalah sekitar 4.1 peratus.

"Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop pula sebelum itu berkata kadar pertumbuhan ekonomi negara adalah pada kadar 8.3 peratus jadi percanggahan angka ini menyebabkan berlakunya kekeliruan.

"Ini menyebab rakyat tidak faham dan tidak percaya kepada kerajaan," jelas Azan.

Menurutnya lagi, ekonomi negara perlu berasda pada pertumbuhan 6 peratus terus menerus sehingga tahun 2015 jika ingin mencapai pendapatan per kapita daripada RM15,000 kepada RM40,000.

"Apa yang berlaku sekarang separuh daripada apa yang disyaratkan untuk mencapai hasrat negara berpendapatan tinggi tidak berjaya.

"Angka pertumbuhan ekonomi antara Bank Dunia dan Menteri menyebabkan rakyat merasa kecewa terutamanya bagi ahli Umno kerana apa yang disebut oleh pemimpin Umno-BN tidak berlaku dan menjadikan ETP sekadar angan-angan kosong sahaja akhirnya," kata Azan.

Melihat kepada keadaan ini Azan tidak menolak kemungkinan ETP bakal menghadapi nasib yang serupa seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang hanya mencapai separuh daripada sasaran asal sebanyak 30 peratus setelah 20 tahun dilaksanakan.

Malah kaji selidik yang dilakukan portal berita akhbarUtusan Malaysia menunjukkan lebih 50 peratus responden daripada 1,538 peserta menyatakan mereka tidak faham dan yakin terhadap program ETP samada Malaysia mampu mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Di bawah ETP sebanyak 131 projek bernilai RM444 bilion dirancang untuk menjana peralihan kepada ekonomi berpendapatan tinggi menjelang 2020 dan KDNK pula dijangka akan melonjak daripada RM23,700 kepada RM48,000 dengan 3.3 juta peluang pekerjaan diwujudkan.

Tiada ulasan: