Isnin, 8 November 2010

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Masih Koma Serangan Angin Ahmar

BERNAMA

GEORGETOWN .- Mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sedih melihat keadaan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tun Dr. Lim Chong Eu yang masih tidak sedar diri di wad Unit Rawatan Rapi Hospital Pulau Pinang (HPP).

Chong Eu, 91, dimasukkan ke HPP pada 26 Oktober lepas dipercayai akibat serangan angin ahmar.

"Saya berasa sedih dengan keadaan yang menimpa Dr Lim kerana beliau adalah seorang pemimpin yang amat disanjungi," katanya kepada pemberita selepas melawat Chong Eu yang juga merupakan salah seorang pengasas parti Gerakan, hari ini.

Abdullah menyifatkan Chong Eu sebagai seorang pemimpin yang aktif dan tabah dalam menempuhi segala rintangan dalam kariernya sebagai seorang ahli politik.

"Saya berharap penduduk Pulau Pinang akan berdoa untuk kesihatan Dr Lim Chong Eu supaya beliau akan pulih seperti biasa," katanya.

Chong Eu pernah menjadi Ketua Menteri kedua Pulau Pinang selepas Tan Sri Wong Pow Nee dan memegang jawatan itu selama 21 tahun dari 12 Mei 1969 hingga 25 Oktober 1990.

Beliau juga pernah menjadi presiden Gerakan selama sembilan tahun mulai 1971 dan di bawah kepimpinannya, Gerakan menyertai Barisan Nasional pada 1972.

Tiada ulasan: