Sabtu, 13 November 2010

Banjir: Pulau Pinang arah henti kerja sementara landasan berkembar

BERNAMA

GEORGE TOWN – Kerajaan DAP Pulau Pinang hari ini mengarahkan MMC Corporation Berhad-Gamuda Berhad (MMC-Gamuda JV) memberhentikan dengan segera kerja projek landasan kereta api berkembar Ipoh ke Padang Besar melibatkan tanah di negeri itu bagi mengelak banjir.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata mesyuarat exco kerajaan negeri pagi tadi membuat keputusan agar kerja projek itu dihentikan sehingga syarat baru yang ditetapkan oleh kerajaan negeri dipenuhi.

Bercakap kepada pemberita di sini, beliau berkata kerajaan negeri meminta MMC-Gamuda JV bersedia untuk memecahkan apa-apa landasan yang dibina supaya air tidak akan bertakung dan bertanggungjawab untuk menanggung segala kos kewangan akibat banjir.

“Kami berharap MMC-Gamuda JV dapat memberikan satu jaminan bertulis kepada pihak kerajaan negeri untuk memenuhi dua syarat baru yang ditetapkan,” katanya.

Lim berkata arahan henti kerja itu akan berkuatkuasa dengan serta merta dan wakil daripada MMC-Gamuda JV seharusnya berjumpa dengan wakil kerajaan negeri untuk berbincang tentang syarat baru itu.

Katanya keputusan itu dicapai berikutan kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Chor Chee Heung dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak bahawa banjir buruk yang melanda Kedah awal bulan ini disebabkan oleh kerja pembinaan landasan kereta api berkembar yang sedang berjalan.

“Berikutan dakwaan kedua-dua pemimpin, satu dari Barisan Nasional dan satu dari Pakatan Rakyat, maka kerajaan negeri memandang berat projek ini, lebih-lebih lagi sekiranya hujan lebat turun, maka ini akan meruncingkan keadaan banjir sekiranya berlaku di Pulau Pinang khususnya di kawasan Seberang Perai,” katanya.

Ini bukan kali pertama kerajaan DAP Pulau Pinang mengarahkan syarikat itu memberhentikan kerja bagi projek berkenaan. Akhir tahun lepas, MMC-Gamuda JV diarah memberhentikan sementara projek sepanjang 63 kilometer yang melintasi Pulau Pinang kerana mendakwa syarikat itu gagal mengemukakan pelan reka bentuk projek.

MMC-Gamuda JV adalah kontraktor utama projek landasan kereta api berkembar sepanjang 329 kilometer yang dijangka siap pada awal 2013, membabitkan kos lebih kurang RM12.5 bilion.

Syarikat itu telah menafikan bahawa projek berkenaan adalah punca banjir di Kedah.

Tiada ulasan: