Sabtu, 20 Februari 2010

Warga Sarawak penentu PRU akan datang

SABAH DAILY

Menurut pepatah Cina, perancangan tahun baru bermula dari musim semi. Tanpa diduga, belumpun tahun harimau tiba langkahnya, suasana politik telah dicemarkan dengan hujah dan tingkahlaku yang berunsur perkauman.

Kontroversi penggunaan kalimah “Allah”, pembakaran gereja, pencerobohan terhadap masjid, dan hujah Pegawai Khas Perdana Menteri Najib (sudah letak jawatan) berbunyi “pendatang Cina melacurkan dirinya”, telah mencelarukan pemikiran politik dan imaginasi pendemokrasian rakyatnya.

Kontroversi penggunaan kalimah “Allah” walaupun cukup menghebohkan buat media di Semenanjung Malaysia, namun gagal mencungkil sebarang sentimen perkauman di Timur Malaysia yang mana penganut Kristiannya sudah biasa merujuk Tuhan mereka dengan kalimah “Allah”. Jurang perbezaaan ini bukan sahaja mencerminkan penduduk Timur Malaysia yang sudah imun dengan rasisme, tetapi juga betapa ceteknya pemahaman warga Barat Malaysia terhadap Timur Malaysia.

Pada hemat saya, perkembangan masyarakat madani harus mengatasi kelemahannya yang menumpu kepada politikus dan elit; malah berpusatkan Kuala Lumpur dan Barat Malaysia. Lebih-lebih lagi, pilihan raya Negeri Sarawak semakin menghampiri. Kita harus memikirkan bagaimana sentimen “ketidakpuasan” warga Barat Malaysia boleh dilanjutkan kepada Timur Malaysia, untuk memacu momentum ke arah peralihan kuasa melalui pilihan raya.


Ini bukan sekadar pertimbangan dari segi strategi untuk politik demokrasi pada masa depan, tetapi juga satu usaha untuk menyelaraskan perbezaan antara Timur dengan Barat dari segi politik, ekonomi dan sebagainya. Sumber tenaga dan budaya kedua-dua Barat dan Timur perlu dirombak dan diagih semula, untuk menuju ke arah Malaysia yang lebih kaya dan majmuk.

Undi Timur Malaysia penentu masa depan

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Wan Ahmad Wan Omar mengumumkan bahawa lebih 4.39 juta atau 28% warga yang memenuhi kelayakan tetapi belum mendaftar sebagai pengundi sehingga akhir tahun 2009. Antaranya, negeri Selangor menduduki tempat pertama dengan 787,000 orang yang belum mendaftar sebagai pengundi, disusuli Johor 605,000 orang, Perak 526,000 orang dan Sarawak 473,000 orang.

Ketika saya menemuramah Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Alwi bin Haji Ibrahim pada Disember lalu, beliau memaklumkan bahawa terdapat kira-kira 66,000 warga yang tidak memiliki kad pengenalan atau sijil lahir di Sarawak. Jelas, sesetengah antara warga Sarawak yang tidak memiliki “kerakyatan” ini adalah sebahagian daripada angka 473,000 di atas.

Apa yang menarik, keputusan pilihan raya Sarawak yang lalu menunjukkan bahawa terdapat 4 kawasan parlimen yang undi majoritinya tidak melebihi 10%, dan 6 kawasan ADUN yang undi majoritinya kurang daripada 500 undi.


Dengan kata lain, seandainya SPR berusaha bersungguh-sungguh untuk mendaftarkan 473,000 orang ini, “pengundi baru” ini bakal menentukan keputusan pilihan raya negeri Sarawak, terutamanya kawasan parlimen yang undi majoritinya kurang daripada 10% dan kawasan ADUN yang undi majoritinya kurang daripada 500 undi. Dalam keadaan di mana undi kepada Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat sudah hampir maksima di Semenanjung, sesetengah orang mempercayai bahawa pengundi di Timur bakal menjadi “King Maker” pada PRU yang akan datang.

Pakar strategi sama ada dari BN mahupun PR bakal melakukan kesilapan yang besar seandainya mengabaikan peluang yang terpendam di kawasan pengundi yang mana undi majoritinya tipis. SPR mendakwa bahawa hampir satu pertiga warga Sarawak yang layak tetapi belum mendaftar sebagai pengundi, nisbah yang sama seperti di seluruh Malaysia.

Namun, pada hakikatnya, hanya kira-kira setengah daripada mereka yang layak mendaftar sebagai pengundi. Kadar pendaftaran sebagai pengundi lebih rendah khususnya di kawasan kampung dan pedalaman. Dengan kata lain, seandainya angka 50% ini didaftarkan sebagai pengundi dengan cukup efektif, maka golongan pengundi baru ini bakal menjadi penentu pilihan raya negeri Sarawak, malah seluruh negara pada masa yang akan datang.

*Chou Z Lam ialah wartawan. Artikel kolum ini disiarkan di MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Tajuknya diubahsuai ketika diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang.

Tiada ulasan: