Sabtu, 20 Februari 2010

Umum dividen 15 peratus


Ismail Sabri Yaakob (tengah) bersama-sama dari kiri, Kamaruzaman Che Mat, Syed Jalaludin Syed Salim, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Penggunaan, Daud Tahir dan Timbalan Pengerusi Esekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Mohd. Yusoff Samsudin menunjukkan tanda bagus selepas sidang media pengumunan peningkatan prestasi kewangan Bank Rakyat 2009 di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR - Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd. (Bank Rakyat) hari ini mengumumkan dividen 15 peratus selepas mencatat keuntungan sebelum cukai dan zakat tertinggi sebanyak RM1.55 bilion bagi tahun kewangan 31 Disember 2009.

Bank Rakyat akan mula membayar dividen tunai kepada 794,199 ahlinya di seluruh negara mulai 22 Februari ini dengan memperuntukan bayaran sebanyak RM299 juta.

Bagi tahun ini, bank koperasi itu telah mengunjurkan keuntungan lebih tinggi RM1.7 bilion berdasarkan kepada pencapaian semasa dan persekitaran ekonomi lebih baik, kata Pengarah Urusannya, Datuk Kamaruzaman Che Mat.

Beliau juga berkata, keputusan untuk menambah modal berbayar sebanyak RM500 juta kepada 2.5 bilion, akan diputuskan dalam mesyuarat agung tahunan Bank Rakyat selepas mendapat kebenaran Bank Negara Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Beliau berkata demikian selepas majlis pengumuman prestasi kewangan dan dividen Bank Rakyat di sini hari ini.

Sebelum itu, Menteri di Kementerian itu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mengumumkan prestasi Bank Rakyat bagi tahun lalu, berkata, keuntungan itu mewakili peningkatan sebanyak RM316 juta atau 25.6 peratus berbanding keuntungan RM1.23 bilion yang dicatatkan pada tahun 2008.

"Peningkatan keuntungan ini juga adalah hasil daripada peningkatan pendapatan kesemua segmen perniagaan Bank Rakyat dan kestabilan kos dana," katanya selepas majlis pengumuman prestasi kewangan dan dividen Bank Rakyat 2009.

Turut hadir ialah Pengerusi Bank Rakyat, Tan Sri Dr. Syed Jalaludin Syed Salim dan Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Kamaruzaman Che Mat.

Menurut Ismail Sabri, keuntungan selepas cukai dan zakat Bank Rakyat pula meningkat kepada RM1.126 bilion berbanding RM954 juta pada tahun sebelumnya dan merupakan peningkatan RM172 juta atau 18 peratus.

Pendapatan kasar pula meningkat sebanyak 18.3 peratus atau RM586 juta kepada RM3.78 bilion berbanding RM3.219 bilion manakala pendapatan daripada pembiayaan adalah sebanyak RM3.39 bilion berbanding RM2.80 bilion yang mana RM3.17 bilion disumbangkan oleh perbankan konsumer dan perbankan komersial menyumbang RM225 juta daripada keseluruhan pendapatan pembiayaan.

Beliau menambah, jumlah aset Bank Rakyat juga meningkat 21.3 peratus atau RM8.9 bilion kepada RM50.6 bilion hasil pertumbuhan kukuh dari baki pembiayaan manakala nisbah pembiayaan tidak berbayar (NPL) bersih telah menurun kepada 0.8 peratus daripada 1.8 peratus pada tahun 2008.

"Penurunan NPL itu didorong oleh polisi dan amalan pengurusan kredit yang kukuh serta proses susulan kredit yang proaktif," katanya.

Mengulas lanjut Ismail Sabri berkata, dana pemegang saham telah meningkat 19.9 peratus atau RM880 juta kepada RM5.30 bilion pada tahun 2009 berbanding RM4.42 bilion pada tahun sebelumnya dengan bilangan anggota seramai 792,798 adalah individu dan 1,401 adalah koperasi.

Tiada ulasan: